Dalam masyarakat moden hari ini, ramai wanita memikul pelbagai peranan secara serentak. Mereka bukan sahaja isteri dan ibu, malah turut menjadi anak yang menjaga dan menyara ibu bapa yang semakin uzur, pekerja profesional, pendidik kepada anak-anak serta individu yang aktif dalam masyarakat. Fenomena ini dikenali sebagai generasi sandwich, iaitu golongan dewasa yang terpaksa menyokong dua generasi dalam satu masa—anak-anak yang masih bergantung kepada mereka dan ibu bapa yang semakin lanjut usia. Istilah ini diperkenalkan oleh Dorothy A. Miller pada tahun 1981 menerusi artikelnya The “Sandwich” Generation: Adult Children of the Aging.
Hakikatnya, generasi sandwich merupakan satu analogi sosial yang menggambarkan individu yang “tersepit” antara dua lapis kebergantungan. Di satu sisi, mereka bertanggungjawab membesarkan dan mendidik anak-anak, manakala satu sudut yang lain perlu menjaga ibu bapa yang semakin uzur serta memerlukan perhatian dan sokongan. Kajian oleh Social Wellbeing Research Centre Malaysia pada tahun 2023 mendapati sekitar 55 peratus warga emas bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak-anak mereka, dengan purata sumbangan sebanyak RM526 sebulan. Keadaan ini menyebabkan ramai wanita mengalami keletihan fizikal dan emosi, hilang keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan (work-life balance), malah tidak sedikit yang berdepan masalah kesihatan mental seperti kebimbangan (anxiety), kemurungan (depression) dan keletihan melampau (burnout).
Dalam konteks inilah falsafah lama yang berbunyi “It takes a village to raise a child” kembali relevan. Dalam Islam, konsep ini bukanlah sesuatu yang asing. Malah, telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW melalui budaya hidup berjemaah, saling membantu dan memikul amanah secara kolektif.
Hari ini, ramai wanita merasakan mereka perlu menjadi “supermom”—memasak, mendidik anak, bekerja, mengurus rumah tangga, menjaga ibu bapa, bahkan pada masa yang sama sentiasa kelihatan sempurna. Hakikatnya, Islam tidak pernah menuntut seorang wanita memikul seluruh beban kehidupan seorang diri. Sebaliknya, Islam membina sebuah masyarakat yang saling melengkapi, saling membantu dan berkongsi tanggungjawab.
Allah SWT berfirman:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan…”
(Surah al-Ma’idah 5 : 2)
Rasulullah SAW pula bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, saling mengasihi dan saling menyantuni adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai demam dan tidak dapat tidur.”
(Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini bukan sekadar menyeru umat Islam membantu ketika berlakunya musibah, bahkan membentuk budaya saling menyokong dalam seluruh aspek kehidupan termasuk membesarkan anak-anak. Seorang anak tidak dibentuk oleh ibu bapanya semata-mata. Mereka turut dibentuk oleh datuk dan nenek, guru, jiran, saudara-mara, masjid serta masyarakat yang baik.
Sirah Rasulullah SAW membuktikan bahawa Baginda membangunkan sebuah masyarakat yang menjadikan saling membantu sebagai budaya hidup. Sebelum hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj. Setelah berhijrah pula, Baginda mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Ketika kaum Muhajirin meninggalkan hampir seluruh harta benda mereka di Makkah, golongan Ansar bukan sahaja membuka pintu rumah, malah berkongsi makanan, tempat tinggal dan membantu memenuhi keperluan keluarga mereka. Inilah contoh terbaik sebuah masyarakat yang memikul tanggungjawab secara bersama.
Islam juga memberikan penekanan yang besar terhadap hak jiran. Rasulullah SAW bersabda bahawa tidak sempurna iman seseorang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan. Walaupun hadis ini berkaitan makanan, para ulama menjelaskan bahawa semangatnya merangkumi keprihatinan terhadap seluruh keperluan jiran, termasuk membantu keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan.
Selain itu, amalan ibu susuan (raḍā‘ah) turut diiktiraf dalam Islam. Penyusuan oleh wanita lain bukan sahaja memenuhi keperluan bayi, malah mewujudkan hubungan kekeluargaan yang diiktiraf syarak. Rasulullah SAW sendiri pernah disusui oleh Halimah al-Sa’diyah ketika kecil. Hal ini membuktikan bahawa penjagaan dan pembesaran seorang anak merupakan tanggungjawab sosial yang boleh dikongsi oleh masyarakat.
Pada zaman Rasulullah SAW, masjid juga berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti. Selain menjadi tempat ibadah, masjid menjadi pusat pendidikan, tempat masyarakat berkumpul, menyelesaikan masalah dan mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Kanak-kanak turut diraikan di masjid. Rasulullah SAW pernah mendukung cucunya ketika menunaikan solat dan memanjangkan sujud apabila cucunya memanjat belakang Baginda. Peristiwa ini menunjukkan bahawa kanak-kanak diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat, bukannya dianggap sebagai gangguan.
Islam juga memberikan perhatian besar terhadap kebajikan anak-anak yatim. Rasulullah SAW bersabda:
“Aku dan orang yang memelihara anak yatim di syurga seperti ini.” Baginda kemudian merapatkan jari telunjuk dan jari tengah.
(Riwayat al-Bukhari)
Semua contoh ini menggambarkan bahawa Islam membina sebuah masyarakat yang berkongsi tanggungjawab menjaga golongan yang memerlukan, bukan menyerahkan segala beban kepada individu tertentu.
Suatu ketika dahulu, masyarakat kita kaya dengan budaya gotong-royong dan saling mengambil berat antara ahli keluarga, jiran dan komuniti. Namun, perubahan gaya hidup moden menjadikan masyarakat semakin individualistik. Akibat tekanan ekonomi, ramai wanita bekerja untuk membantu keluarga. Pada waktu pagi mereka menghantar anak ke sekolah, siang hari memenuhi tuntutan kerjaya, petang membawa anak ke terapi atau kelas tambahan, malam pula mengurus ibu bapa yang uzur. Belum lagi mengambil kira urusan rumah tangga, kewangan keluarga, emosi pasangan dan tanggungjawab dalam masyarakat.
Akhirnya, ramai wanita menjalani kehidupan dalam keadaan survival mode. Hari-hari mereka dipenuhi rutin memenuhi keperluan orang lain sehingga tidak lagi mempunyai ruang untuk berehat, menjaga kesihatan diri atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Ramai yang berasa bersalah kerana tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak, berasa berdosa kerana tidak mampu menjaga ibu bapa seperti yang diharapkan, dan berasa gagal apabila prestasi kerja menurun. Hakikatnya mereka sedang memikul amanah yang terlalu besar.
Penyelesaian kepada krisis ini bukanlah dengan menambah lagi beban kepada wanita, tetapi mengembalikan institusi keluarga kepada fungsi asalnya menurut Islam. Pendidikan anak-anak, penjagaan ibu bapa dan pengurusan rumah tangga merupakan amanah yang perlu dipikul secara bersama oleh suami, isteri serta ahli keluarga yang lain mengikut kemampuan masing-masing. Suami bukan sekadar pencari nafkah, bahkan rakan kongsi yang sama-sama memimpin, mendidik dan mengurus keluarga.
Pada masa yang sama, kerajaan dan majikan juga boleh memainkan peranan melalui dasar yang lebih mesra keluarga seperti waktu kerja anjal, pilihan bekerja dari rumah, cuti penjagaan keluarga serta penyediaan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mampu milik. Negara-negara Skandinavia dan beberapa negara Eropah Barat telah menunjukkan bahawa dasar sedemikian mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga tanpa menjejaskan produktiviti negara.
Bagi warga emas pula, bantuan kewangan yang lebih mampan, pusat aktiviti komuniti serta perkhidmatan penjagaan di rumah yang berkualiti dan berpatutan perlu diperluaskan bagi mengurangkan beban yang dipikul oleh ahli keluarga, khususnya wanita.
Masyarakat dan kejiranan juga perlu menghidupkan semula budaya saling mengambil berat. Bertanya khabar, menawarkan bantuan menjaga anak-anak, membantu menghantar ibu bapa ke hospital atau sekadar menjadi tempat berkongsi rasa mampu memberi impak yang besar kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.
Dalam masa yang sama, wanita juga perlu diperkasakan dengan kemahiran pengurusan emosi, komunikasi berkesan, pengurusan kewangan, delegasi tugas serta keberanian mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan. Mencari pertolongan bukanlah tanda kelemahan, bahkan merupakan sebahagian daripada ikhtiar yang dianjurkan oleh Islam.
Ungkapan “It takes a village to raise a child” sebenarnya amat bertepatan dengan roh Islam yang menjunjung nilai ukhuwah, ta’awun dan tanggungjawab bersama. Dalam menghadapi cabaran generasi sandwich, wanita tidak memerlukan gelaran superwoman. Mereka memerlukan pasangan yang saling melengkapi, keluarga yang memahami, masyarakat yang prihatin serta dasar negara yang menyokong institusi kekeluargaan. Kekuatan sesebuah keluarga bukan terletak pada kemampuan seorang ibu melakukan segala-galanya, tetapi pada kesediaan seluruh masyarakat memikul amanah secara bersama. Apabila keluarga diperkukuh, masyarakat akan menjadi lebih sejahtera, dan apabila masyarakat sejahtera, lahirlah generasi yang beriman, berakhlak mulia dan berdaya tahan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan ganjaran terbaik kepada setiap wanita yang sedang berjuang mendidik anak-anak, berbakti kepada ibu bapa, mengurus keluarga serta menyumbang kepada masyarakat. Semoga setiap pengorbanan mereka menjadi amal soleh yang berpanjangan dan diberkati oleh-Nya. Amin.
Dr. Noor Tahira Abdul Karim
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Alor Setar

