JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Piknik Tadabbur al-Quran Siri 11 anjuran Wanita ISMA Johor Bahru dan Kelab Iffah Johor Bahru telah diadakan baru-baru ini dengan menghimpunkan seramai 25 orang peserta wanita dalam suasana yang santai dan penuh mesra.
Pengisian tadabbur pada kali ini telah disampaikan oleh Ustazah Fathiah Solehah Ismail dengan tajuk “Bila Hati Tak Tenang”.
Ustaz Fathiah Solehah Ismail mengingatkan para peserta bahawa kunci ketenangan hati bermula apabila kita belajar untuk sentiasa bersyukur dan menghargai setiap nikmat kurniaan Allah, walaupun sekecil-kecil perkara.
Selain sesi tadabbur, para peserta juga berpeluang mengikuti aktiviti kraftangan yang santai dan menyeronokkan, iaitu menghasilkan bunga tulip menggunakan dawai bulu. Aktiviti ini bukan sahaja mencungkil kreativiti, tetapi turut menjadi ruang untuk para peserta berinteraksi, berkongsi cerita dan mengeratkan ukhuwah.
Semoga setiap peserta yang hadir pulang dengan hati yang lebih tenang dan lapang, serta bersemangat untuk terus mendekatkan diri kepada Allah melalui al-Quran.
Mudah-mudahan pertemuan kecil ini menjadi asbab kebaikan dan memberi makna dalam kehidupan seharian.
