Percikan perjuangan dan perubahan tidak akan tercetus tanpa kesedaran terhadap realiti yang sedang dihadapi oleh ummah; realiti kehidupan masyarakat, tekanan yang menghimpit keluarga, cabaran terhadap agama dan identiti, kedudukan sosioekonomi ummah, serta perubahan yang sedang membentuk wajah dan masa depan negara.
Kesedaran terhadap realiti kelemahan, kemerosotan dan cabaran yang melingkungi ummah akan membangkitkan kehendak untuk menghadapinya, memperbaikinya dan terlibat secara bersungguh-sungguh dalam usaha perubahan.
Kesedaran ini kadangkala lahir daripada kejutan apabila seseorang berhadapan sendiri dengan realiti masyarakat atau terbentuk melalui pengalaman dan pemerhatian yang terkumpul. Ia melahirkan manusia yang mampu membawa fikrah perjuangan serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.
Dalam konteks Kuala Lumpur, kita perlu sedar bahawa sebuah bandar boleh kelihatan maju melalui bangunan pencakar langit, pembangunan hartanah, pusat perdagangan dan segala simbol kemodenan. Sedangkan di sebalik kemajuan tersebut boleh tersembunyi seribu satu persoalan yang lebih mendasar tentang kemiskinan bandar, kemampuan memiliki kediaman, ketahanan keluarga, keselamatan masyarakat, penghayatan agama, kedudukan ekonomi, warisan sejarah serta identiti kota.
Realiti juga boleh dihiasi dengan pelbagai slogan, ukuran dan gambaran kemajuan sehingga perhatian masyarakat dialihkan daripada persoalan yang lebih asas tentang siapakah yang membentuk bandar ini, nilai apakah yang mencorakkan kehidupannya dan apakah masa depan yang sedang diwariskan kepada generasi berikutnya.
Keadaan ini boleh melahirkan suatu kesedaran yang pincang apabila kemajuan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, nilai hartanah, pembangunan fizikal dan kemegahan kota, sedangkan kesejahteraan manusia, kekuatan keluarga, solidariti masyarakat, penghayatan agama, identiti dan kemampuan ummah mencorakkan masa depannya semakin terpinggir.
Atas sebab itu, perjuangan KL Sebagai Nadi Peradaban Ummah bermula dengan usaha membina kesedaran yang sebenar terhadap Kuala Lumpur; memahami sejarahnya, membaca realitinya, mengenal pasti cabarannya dan menyedarkan masyarakat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap masa depan kota raya ini.
Kesedaran secara umum sahaja tidak mencukupi. Ia perlu terus diperdalam, diperbaharui dan diwariskan merentasi generasi dan setiap peringkat perjuangan. Ummah perlu sentiasa memahami perubahan yang berlaku serta membaca ancaman dan cabaran baharu yang muncul dalam perjalanan membangunkan masyarakat dan negara.
Kesedaran ini juga perlu sentiasa dihidupkan dengan realiti yang dapat dilihat dan dirasakan sendiri oleh masyarakat; keadaan keluarga, anak muda, pendidikan, ekonomi, keselamatan, kebajikan, dakwah, identiti dan kehidupan komuniti di sekitar mereka. Daripada kesedaran terhadap realiti inilah menimbulkan rasa tanggungjawab, daripada tanggungjawab melahirkan kehendak, dan daripada kehendak menghasilkan tindakan yang tepat.
Maka kemerdekaan tidak seharusnya berhenti pada mengenang pembebasan tanah air daripada penjajahan. Kemerdekaan perlu membangkitkan kesedaran bahawa generasi hari ini memikul tanggungjawab untuk menentukan sendiri rupa masyarakat, kota dan negara yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.
Inilah perjuangan ISMA melalui gagasan Ummah Fadhilah: Membina Ummah, Membangun Negara.
Kita mahu ummah yang memahami realitinya, mengenali sejarahnya, menyedari tanggungjawabnya, mempunyai kehendak untuk berubah dan memiliki kemampuan untuk mencorakkan masa depannya.
Kuala Lumpur harus menjadi salah satu medan untuk membuktikan cita-cita dan impian tersebut, iaitu maju pembangunannya, kukuh keluarganya, sejahtera masyarakatnya, hidup pegangan agamanya, terpelihara identiti dan kuat struktur ummahnya.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA


