BATU PAHAT, 21 September 2026 – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Batu Pahat telah menganjurkan Fun Run Merdeka bertempat di Surau As-Solihin, Kampung Parit Bengkok, baru-baru ini.
Program yang bermula pada jam 7.40 pagi itu disertai oleh 48 buah keluarga dengan 37 orang kanak-kanak. Aktiviti larian berlangsung sehingga jam 8.30 pagi sebelum peserta meneruskan program dengan kuiz kemerdekaan kanak-kanak, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.
Dalam ucapan penutup, Dr. Muhammad Rusydi, Yang Dipertua ISMA Batu Pahat, berkata penganjuran Fun Run Merdeka bukan sekadar bertujuan menggalakkan aktiviti fizikal, malah menjadi salah satu usaha untuk mengukuhkan ukhuwah dalam komuniti dan kekeluargaan.
“Merdekakan diri kita daripada sisa-sisa jahiliyah. Keluarga dan komuniti amat penting bagi menjaga individu daripada terjebak dengan anasir-anasir yang merosakkan seperti hedonisme dan amalan songsang. Amat penting pada hari ini, penerapan nilai Islam yang syumul diterapkan dalam keluarga.
“Kita juga ingin mewar-warkan permohonan bantuan dan sumbangan infak bagi Surau As-Solihin, Kampung Parit Bengkok yang sedang menjalani proses renovasi dan memerlukan kira-kira RM1.5 juta bagi menampung kos baik pulih dan pengubahsuaian”, ujar beliau.
Program ini turut menjadi platform untuk ISMA Batu Pahat mendekati masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan setiap lapisan umur.
Antara program yang pernah dianjurkan termasuk Program Huffaz Cilik untuk kanak-kanak sekolah rendah, Program Ihya Ramadan untuk golongan remaja dan belia, selain pelbagai program khusus untuk golongan wanita.
ISMA Batu Pahat mengalu-alukan masyarakat untuk bersama-sama menyertai program-program yang dianjurkan sebagai usaha membina komuniti yang aktif, berilmu dan dekat dengan nilai-nilai Islam.
Merdeka dengan aktiviti, meriah dengan ukhuwah, subur dengan nilai Islam.

