Perlembagaan Negeri Sabah secara jelas telah memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama negeri. Perkara 5A Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Negeri Sabah, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Peruntukan ini wujud sejak pindaan pada 1973 dan merupakan asas kepada identiti perlembagaan Sabah. Maka dalam konteks kenegaraan, biarlah apapun cabarannya, jangan sekali-kali kita mematikan peruntukan Perlembagaan yang menjadi tunjang identiti negeri ini. Menjaga status ini adalah tanggungjawab moral dan perundangan bagi setiap pemimpin beragama Islam.
Pada masa yang sama, berdasarkan data bancian penduduk yang direkodkan, umat Islam merupakan kumpulan majoriti di Negeri Sabah. Majoriti ini bukan sekadar angka, tetapi satu amanah yang begitu besar dan dipikul oleh pemimpin muslim Sabah.
Manakala, rakyat telah memberikan mandat kepada wakil-wakil rakyat Islam untuk menjadi suara dan benteng kepada kepentingan agama. Bak kata pepatah “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” Maka, mandat yang diberikan rakyat adalah beban yang harus dipikul bersama oleh semua pemimpin Islam.
Kegagalan menjaga status agama Islam adalah satu bentuk pengabaian dan juga pengkhianatan terhadap amanah majoriti yang mengharapkan syiar Islam ini terus terpelihara di bumi Sabah.
Disamping itu, kedudukan Islam sebagai agama negeri di Sabah sama sekali tidak mengancam penganut agama lain. Prinsip keadilan dan keharmonian adalah teras kepada ajaran Islam itu sendiri. Sejarah membuktikan selama Islam didaulatkan, penganut agama lain tetap bebas beramal dan membina rumah ibadat dengan aman.
Islamlah yang menjadi sendi yang menegakkan keharmonian di Sabah.
Apabila sendi itu kukuh dan adil, maka seluruh penghuni rumah yang berbilang kaum dan agama akan hidup aman dan harmoni di bawah satu bumbung.
Tanggungjawab pemimpin Islam dan wakil rakyat beragama Islam adalah amat besar. Mereka bukan sahaja perlu lantang mempertahankan status Islam di dalam Dewan Undangan Negeri, malah perlu menterjemah dalam bentuk dasar dan peruntukan, termasuk memperkasa Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Mahkamah Syariah, dan pendidikan Islam.
Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pemimpin Islam untuk menjadi pagar yang menjaga agama, tetapi jika pagar itu sendiri yang merosakkan batas dan berdiam diri dalam isu-isu kepentingan Islam, maka rosaklah tanaman dan kepercayaan rakyat.
Pemimpin Islam di Sabah harus mengambil iktibar daripada sejarah dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang cuba menafikan peranan Islam sebagai agama rasmi, dengan mendakwa Sabah adalah negeri sekular.
Jika pemimpin Islam sendiri keliru dan gagal mempertahankan fakta Perlembagaan, generasi akan datang akan kehilangan jati diri.
Ingatlah pesan orang tua-tua, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Jika kita tidak bersusah payah mempertahankan, mendidik dan menjelaskan fakta Perlembagaan ini hari ini, manakan kita dapat menikmati kemanisan perpaduan dan kedaulatan agama yang kukuh pada masa hadapan.
Akhir kata, seruan ini adalah untuk semua pemimpin beragama Islam di Sabah, tanpa mengira latar belakang parti, agar bersatu hati dalam satu perkara asas iaitu menjaga kedudukan Islam sebagai agama negeri.
Perbezaan politik seharusnya diketepikan apabila melibatkan isu akidah dan Perlembagaan.
Perpaduan dan muafakat di kalangan pemimpin Islam itu sendiri adalah kunci utama untuk memastikan Islam terus terpelihara, dan dengan menjaga Islam, kita sebenarnya sedang menjaga keharmonian, keamanan dan masa depan Sabah yang lebih stabil dan diberkati.
Ustaz Muhammad Nur Bin Selamit
YDP ISMA Cawangan Sandakan

