SANDAKAN, 25 September – Sambutan Hari Malaysia, 16 September yang lalu dimeriahkan dengan penganjuran Konvoi Kemerdekaan di Teratak Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan menghayati erti kemerdekaan.
Program ini menghimpunkan hampir 100 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, bermula dari Pejabat ISMA Taman Mawar konvoi beramai-ramai menuju ke Teratak Gemilang yang dimiliki oleh Haji Mohd Halikin Angga. Setibanya di lokasi, peserta dipertontonkan persembahan silat cilik, kemudian sesi tazkirah dan lawatan ke Teratak Gemilang.
Yang Dipertua ISMA Sandakan, Ustaz Muhammad Nur bin Selamit, dalam ucapannya berpesan, bahawa perjuangan pahlawan dan tokoh kemerdekaan perlu dikenang oleh generasi anak muda hari ini kerana tanpa mereka nikmat kemerdekaan tidak akan dikecapi. Maka, kita harus mengekalkan nikmat ini dengan menyuburkan cinta kepada tanah air.
Program ini diharapkan dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, agar terus menghargai sejarah, mengenang jasa pejuang terdahulu serta memelihara nikmat kemerdekaan yang dikecapi bersama.


