KAHERAH, 29 September – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyeru mahasiswa Malaysia di Mesir memperkukuh penguasaan ilmu dan keupayaan intelektual bagi menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas, khususnya perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malah mesti mempunyai kemampuan memahami perubahan semasa serta merungkai permasalahan ummah berasaskan ilmu yang benar.
Seruan itu disampaikan ketika program “Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah” anjuran ISMA Mesir dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Education Malaysia Egypt (EME) yang menghimpunkan kira-kira 60 mahasiswa Malaysia di Kaherah.
Menurut beliau, perkembangan teknologi dan AI yang berlaku dengan pantas menuntut mahasiswa mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu serta keupayaan intelektual supaya mampu berdepan cabaran baharu yang memberi kesan kepada masyarakat dan ummah.
“Mahasiswa perlu membina kemampuan untuk merungkai permasalahan ummah berasaskan ilmu yang benar,” katanya dalam program berkenaan.
Turut hadir, Menteri Penasihat Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Dato’ Haji Shamsul Najmi Shamsuddin, yang menekankan kepentingan kesatuan ummah serta peranan generasi mahasiswa dalam mengembalikan fungsi ummah di Malaysia.
Program berkenaan turut dihadiri wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mesir, Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir (MIFTAH) dan Persatuan Anak Kenyalang (Sarawak) Mesir.
Dalam program tersebut, ISMA Mesir turut melancarkan seruan “Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah” yang digerakkan berteraskan lapan agenda, iaitu kecemerlangan akademik, kepimpinan, beragenda, kefahaman Islam wasatiy, sahsiah terpuji, seruan berprinsip, membangun komuniti dan cakna ummah.
Lapan agenda itu menjadi kerangka pembentukan mahasiswa yang bukan sahaja berorientasikan kecemerlangan akademik, tetapi turut mempunyai kepimpinan, prinsip, sahsiah serta keprihatinan terhadap masyarakat dan ummah.
ISMA Mesir telah berdaftar secara rasmi di bawah Education Malaysia Egypt, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah sejak 2008 dan terus menjalankan aktiviti berkaitan pembangunan akademik, sahsiah, kebajikan, dakwah serta kemasyarakatan mahasiswa Malaysia di Mesir.
Program tersebut turut menjadi wadah memperkukuh hubungan dan kerjasama antara pertubuhan mahasiswa Malaysia di Mesir dengan pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan mahasiswa yang berilmu, berprinsip dan bersedia memikul tanggungjawab terhadap masyarakat serta ummah.


