Apabila ditelusuri secara makro dan mikro, ibu-ibu kota dalam sejarah Islam yang suatu ketika dahulu menjadi mercu tanda keilmuan dan kemajuan dunia, serta menarik kehadiran manusia dari pelbagai wilayah untuk menimba ilmu dan menyaksikan kemajuan peradaban, kini seakan-akan kehilangan identiti dan keunikan yang pernah menjadi teras kegemilangannya.
Dahulu, Baghdad beridentitikan pelan kota yang tersusun dan menjadi pusat berkembangnya keilmuan dirintis kegemilangan Baitul Hikmah yang menghimpunkan ilmuwan Islam seperti al-Khawarizmi tokoh matematik dan Banu Musa bersaudara yang merupakan saintis yang menonjol dalam bidang astronomi, mekanikal serta matematik selain menerajui kegiatan penterjemahan.
Damsyik pula menyaksikan Masjid Umawi sebagai mercu pusat kota di samping kegemilangan Bimaristan al-Nuri sebagai hospital dan latihan perubatan yang berjaya melahirkan tokoh perubatan seperti Ibn al-Nafis.
Selain terkenal dengan keilmuan al-Azhar, kota Kaherah turut melahirkan ilmuwan seperti Ibn al-Haytham yang memberi sumbangan besar kepada ilmu optik dan al-Qalqashandi yang mengarang ensiklopedia pentadbiran yang merangkumi urusan penulisan rasmi, geografi, sejarah politik dan pentadbiran kerajaan. Bumi Samarkand pula menjadi pusat astronomi yang terkenal dengan balai cerap inspirasi dari tokohnya Ulugh Beg serta kehebatan al-Kashi dalam ilmu matematik yang menyumbang kepada pengiraan nilai π (pi) dan karyanya mengenai jadual kedudukan matahari, bulan dan planet.
Realitinya pada hari ini, walaupun pada dasarnya dikekalkan tempat-tempat bersejarah, namun semakin halus ia disekat nafas ekonominya, digambarkan tidak maju melalui media-media, dan faktor-faktor lain yang membuatkan rakyatnya sendiri terpaksa berkeringat tulang empat kerat demi survival. Apabila mod survival menjadi fokus masyarakat, hilanglah aspirasi keilmuan, kesenian dan sebagainya yang selama ini menjadi kekuatan dan gemilangnya tamadun. Apatah lagi dengan dihamparkan di dada akhbar mahupun media-media akan kemunduran, kemiskinan, ketidakstabilan yang melanda kota-kota ini hanya kerana mereka menolak pembaratan.
Lebih jelas lagi setelah munculnya falsafah negara bangsa yang diterajui UN, kota-kota ‘ciptaan’ lain lebih menjadi tarikan dengan alasan kemajuan yang dijana dengan penilaian materialistik. Akhirnya kemajuan itu didefinisikan dengan banyaknya bilangan bangunan pencakar langit, bertambahnya pusat membeli belah dan sebagainya. Langsung tiada makna keilmuan, kesenian, dan sumbangan terhadap masyarakat.
Sudahlah pembangunan materialistik ini menjadi tarikan pelabur mahupun pelancong, peninggalan sejarah tamadun Islam mahupun sejarah asal sesebuah negara itu sendiri dibiar sendu tanpa idea. Paling kuat hanya dikekalkan sebagai artifak sejarah, tidak pula difikirkan bagaimana ia harus dinaik taraf, dimajukan, dan dikembangkan penghayatannya.
Jadilah pada hari ini kota-kota yang suatu ketika dahulu menjadi mercu peradaban, pusat ilmu dan nadi kemajuan umat semakin kehilangan sinarnya, lalu digantikan oleh kota-kota moden yang serba canggih tetapi tidak lagi membawa aspirasi serta roh tamadun Islam sebagaimana yang pernah dibangunkan oleh umat pada era kegemilangan khilafah.
Tidak salah untuk membangunkan dan memajukan sesebuah kota dari sudut material dan infrastruktur. Namun, apabila pembangunan fizikal menjadi ukuran utama kemajuan sehingga budaya ilmu, institusi masyarakat, nilai dan identiti ketamadunan semakin diketepikan, maka tanpa disedari ia sebenarnya merupakan satu taktik baharu yang halus untuk menghilangkan identiti tamadun Islam.
Kuala Lumpur pula bagaimana?
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA


