AMMAN, 3 Oktober – Setelah hampir 15 tahun bertapak di Irbid, ISMA Jordan melangkah ke fasa baharu dengan pembukaan pejabat baharu di Amman, sebagai usaha memperluas jaringan dan memperkukuh khidmat kepada mahasiswa Malaysia di Jordan.
Majlis perasmian pejabat baharu ini disempurnakan oleh Dr Zeyad Al-Azzam, Penasihat Pendidikan Education Malaysia Jordan (EMJ), dan turut dihadiri oleh Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ), Persatuan Mahasiswa Amman (PMA), IKRAM Jordan serta wakil persatuan dan komuniti mahasiswa Malaysia di Jordan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pengerusi ISMA Jordan Ahmad Muaz Mohamad Nazri atas usaha, komitmen dan kepimpinan dalam merealisasikan pembukaan pejabat baharu ini.
Pembukaan pejabat ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh pembangunan mahasiswa, khususnya dalam aspek ilmu, sahsiah, kepimpinan dan khidmat masyarakat.
ISMA melihat mahasiswa Malaysia di Jordan sebagai generasi yang bakal kembali ke tanah air untuk menyumbang kepada masyarakat. Justeru, pengalaman menuntut ilmu di Jordan perlu diterjemahkan kepada kekuatan ilmu, kematangan kepimpinan serta kesediaan untuk berkhidmat melalui dakwah, pendidikan dan khidmat sosial.
Kerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Education Malaysia Jordan turut memperluas ruang sokongan dan jaringan dalam usaha memperkukuh pembangunan mahasiswa Malaysia di Jordan.
Pembukaan Pejabat ISMA Jordan diharapkan menjadi pemangkin kepada lahirnya mahasiswa Malaysia yang berilmu, berakhlak, berkepimpinan dan bersedia kembali berbakti kepada masyarakat serta negara.


