NILAI, 5 Oktober – Golongan remaja sekitar Nilai, Negeri Sembilan berpeluang mendalami sejarah dan warisan negara menerusi program “Misi Jejak Warisan: Eksplorasi dan Lawatan Muzium” yang dianjurkan bersama oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) Nilai dan Pusat Komuniti Anjung Hikmah.
Program bertemakan “Terokai Sejarah, Alami Realiti” itu merupakan salah satu inisiatif komuniti yang memberi ruang kepada remaja meneroka sejarah melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.
Menerusi program tersebut, para peserta mengunjungi Muzium Negara, Kuala Lumpur dengan menaiki pengangkutan awam MRT, sekali gus memberi mereka pengalaman perjalanan yang berbeza selain meneroka pelbagai koleksi dan pameran berkaitan sejarah serta budaya negara.
Peserta turut menyertai aktiviti interaktif “Kenali, Cari, Ceritakan”, iaitu misi mencari klu di sekitar muzium yang menguji daya pemerhatian dan pemikiran, di samping memupuk skill komunikasi serta semangat kerjasama antara ahli pasukan.
Menurut Pengarah Program, Muhamad Hasif Zakaria, program itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan sejarah negara, malah menjadi sebahagian daripada usaha membina jati diri remaja.
“Kami mahu remaja melihat sejarah bukan sekadar kisah yang dibaca atau dipamerkan di muzium. Sejarah dan warisan negara perlu difahami, dihayati dan dijadikan sumber inspirasi dalam membentuk identiti serta mencorakkan masa depan mereka,” katanya.
Katanya lagi, program seumpama itu turut membuka ruang kepada remaja sekitar Nilai untuk terlibat dalam aktiviti komuniti yang sihat dan bermanfaat, selain membina hubungan persahabatan serta semangat kebersamaan.
Penganjuran Misi Jejak Warisan mencerminkan usaha KRIM Nilai dan Pusat Komuniti Anjung Hikmah dalam menyediakan platform pembangunan remaja yang menggabungkan elemen pendidikan, eksplorasi dan pembinaan komuniti.


