KEMAMAN, 6 Oktober – Seramai 17 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun menyertai Bengkel Algebra yang dianjurkan oleh Wanita ISMA Kemaman melalui Komuniti Chukai-Binjai dengan kerjasama Kelab Remaja ISMA (KRIM), di Dewan Al-Fatah, Masjid Jamek Binjai, Sabtu lalu.
Bengkel tersebut menjadi medium untuk memperkukuh kefahaman peserta tentang kepentingan menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh, di samping membina nilai usaha, strategi pembelajaran, keyakinan diri dan daya tahan dalam menghadapi cabaran akademik.
Selain memberi penekanan kepada penguasaan asas Algebra yang merangkumi pelbagai tajuk dalam silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), program itu turut membawa pendekatan yang menghubungkan ilmu dengan sejarah serta ketokohan tokoh Islam dalam bidang matematik.
Pengenalan kepada tokoh-tokoh Islam seperti Al-Khawarizmi diharap dapat membuka ruang kepada peserta untuk mengambil inspirasi daripada sumbangan dan pencapaian ilmuwan terdahulu, sekali gus membentuk generasi yang mencintai ilmu dan tidak melihat pendidikan semata-mata dari sudut pencapaian peperiksaan.
Pengisian bengkel dikendalikan oleh Aisyah Amalina Mohd Noor, guru di SMK Banggol yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik dengan Kepujian dari Victoria University of Wellington, New Zealand, serta Sarjana dalam Matematik Industri dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sepanjang bengkel, peserta diberikan penerangan mengenai sejarah Algebra sebelum mengikuti aktiviti menjawab soalan bagi mengukuhkan pemahaman dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Peserta turut diberikan pendedahan mengenai teknik menjawab soalan mengikut format Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), di samping dibimbing untuk memahami konsep asas yang diperlukan dalam menyelesaikan soalan Algebra.
Menurut peserta, bengkel tersebut memenuhi keperluan pembelajaran mereka dan mereka berharap agar program Algebra 2.0 dapat dianjurkan pada masa akan datang dengan topik yang berbeza seperti Poligon.
Pengarah program, Nor Azreen binti Abd Patah, turut menekankan bahawa penguasaan sesuatu ilmu perlu bermula dengan kefahaman terhadap asas.
“Algebra menjadi mudah apabila asas diingati dan diaplikasi dalam setiap penyelesaian. Sebagaimana hidup seorang Muslim, apabila mempunyai masalah perlu kembali pada asas, iaitu rukun Islam dan rukun Iman,” katanya.
Bengkel ini diharap dapat membantu peserta membina keyakinan dalam menguasai Matematik, selain memupuk sikap tekun menuntut ilmu dan menjadikan tokoh ilmuwan Islam sebagai sumber inspirasi dalam membina kecemerlangan diri.


