MELAKA, 16 September 2026 — Lebih 100 muslimah dari seluruh Melaka menyertai Seminar Wanita Islam (SERWANIS) – Muslimah Bloom 2026 yang berlangsung di Surau Al-Muttaqin, Taman Paya Rumput Perdana, baru-baru ini.
Mengangkat tema “Muslimah Bloom 2026: Tenang Emosi, Anggun Peribadi”, program ini dianjurkan oleh Surau Al-Muttaqin, Taman Paya Rumput Perdana dengan kerjasama ISMA Melaka Tengah, I-Medik Melaka Tengah, NGO Suri Inspirasi dan Najat Educare.
SERWANIS diwujudkan sebagai satu platform yang menghimpunkan muslimah untuk membincangkan isu berkaitan pengurusan emosi, keseimbangan kehidupan, penjagaan diri dan pembentukan peribadi wanita berlandaskan perspektif Islam.
Penyertaan program turut melibatkan masyarakat umum dan bukan terhad kepada ahli ISMA sahaja. Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang di seluruh Melaka menunjukkan bahawa isu kesejahteraan emosi dan kehidupan wanita merupakan perkara yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
“Aku Penat…” — Mengangkat realiti kehidupan wanita
Antara pengisian utama SERWANIS ialah forum eksklusif “Aku Penat… Seni Mengurus Emosi dari Perspektif Islam & Ilmu Perubatan” yang membincangkan realiti dan cabaran emosi yang sering dihadapi wanita.
Antara perkara yang diketengahkan ialah work-life balance, burnout dan rasa bersalah sebagai ibu, pengurusan keutamaan hidup serta konsep me time dan penjagaan diri menurut Islam.
Forum tersebut menampilkan Dr. Rozanizam bin Zakaria, Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan UIAM yang turut dikenali melalui penulisan berkaitan psikologi dan kesejahteraan manusia.
Turut bersama ialah Puan Suhaila binti Sanusi, atau lebih dikenali sebagai Ummi Bella, seorang penulis buku Healing: Ibu Kita Kuat dan pembangun konten yang banyak mengetengahkan isu berkaitan kehidupan wanita dan kekeluargaan.
Forum dikendalikan oleh Puan Fatin Aqilah binti Muhamad Fadzil sebagai moderator.
Gabungan perspektif ilmu perubatan, pengalaman kehidupan dan panduan Islam memberi ruang kepada peserta untuk memahami bahawa pengurusan emosi bukan sekadar berkaitan perasaan, tetapi turut melibatkan cara seseorang mengenali diri, menyusun keutamaan dan mendapatkan sokongan yang sewajarnya.
Penjagaan kecantikan yang halal dan syarie
Selain aspek emosi, SERWANIS turut membawa pengisian berkaitan penjagaan diri melalui sesi “Bloom With Barokah – Rahsia Penjagaan Kecantikan Muslimah yang Halal & Syarie”.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr. Syazwani Binti Abdul Samad, Founder & Director Nuuha Cosmeceutical Sdn. Bhd. (Nuuha Beauty).
Antara perkara yang dikongsikan ialah asas struktur kulit, pemilihan bahan penjagaan kulit berdasarkan keperluan, fakta dan mitos skincare, rutin penjagaan kulit serta pengenalan kepada penjagaan kulit halal.
Pengisian ini membawa mesej bahawa penjagaan diri bagi seorang muslimah boleh dilakukan dengan penuh kesedaran, tanpa mengetepikan batas agama dan prinsip halal serta syarie.
“Cukup dengan cara macam tadi dah boleh buat saya lega”
Sambutan peserta terhadap pengisian SERWANIS turut diterjemahkan melalui maklum balas yang menyentuh aspek emosi dan pengalaman mereka sepanjang program.
Seorang peserta berkata:
“Saya suka ceramah yang menyentuh hati macam tadi, sebab bila penceramah berjaya sentuh emosi peserta, terasa seperti kami puas dapat berkongsi rasa walaupun tanpa sesi luahan rasa.
“Cukup dengan cara macam tadi dah boleh buat saya lega. Rasa macam hilang stres dan penat. Harap dapat laksanakan lagi program macam tadi di masa akan datang.”
Maklum balas tersebut menggambarkan bagaimana pengisian yang dekat dengan pengalaman dan emosi wanita dapat membuka ruang untuk peserta melakukan refleksi terhadap diri, tanpa semestinya memerlukan sesi luahan secara formal.
Menurut Pengarah Program SERWANIS – Muslimah Bloom 2026, Puan Atikah binti Abu Bakar, sambutan yang diterima serta maklum balas daripada peserta menjadi satu motivasi kepada pihak penganjur untuk melihat kemungkinan meneruskan program pada masa akan datang.
“Kami sangat bersyukur dengan sambutan yang diberikan. Hasrat kami sejak awal adalah untuk menyediakan ruang kepada muslimah untuk berhenti seketika daripada kesibukan, melihat semula keadaan diri dan mendapatkan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
“Apabila ada peserta yang sendiri menyatakan hasrat untuk SERWANIS 2.0, kami melihatnya sebagai satu maklum balas yang sangat bermakna. Insya-Allah, jika diberikan kesempatan dan kemampuan, kami berharap usaha ini dapat diteruskan dengan pengisian yang lebih luas dan memberi manfaat kepada lebih ramai muslimah.”
SERWANIS 2026 membawa gagasan “Memperkasa muslimah dengan keseimbangan emosi dan keyakinan diri berlandaskan Islam”, dengan harapan agar setiap peserta pulang bukan sekadar membawa ilmu, tetapi turut memperoleh ruang untuk berhenti, bermuhasabah dan kembali melangkah dengan lebih tenang.
Penganjuran SERWANIS juga diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang memberi perhatian kepada kesejahteraan wanita dari aspek emosi, fizikal, sosial dan spiritual, di samping mengukuhkan hubungan antara komuniti muslimah di Melaka.


