CORK, 13 November – Hampir 40 orang mahasiswa dari Ireland dan United Kingdom telah menyertai RISE Leadership Summit’26 yang telah diadakan di Maldron Hotel Shandon, Cork, 7 November lalu.
Program anjuran bersama ISMA Ireland dan Persatuan Pelajar Malaysia Cork (PPMC) ini mengangkat tema “From Inspiration to Action, From Service to Legacy”, yang menekankan kefahaman tentang kepimpinan berteraskan sirah serta menyemai semangat khidmat kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.
Majoriti peserta terdiri daripada mahasiswa University College Cork (UCC) dan Griffith College Cork (GCC), selain penyertaan mahasiswa dari University College Dublin (UCD) dan King’s College London.
Program dimulakan dengan ucapan perasmian dan pengisian bertajuk “Leadership Through Seerah” yang disampaikan oleh Presiden ISMA Malaysia, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy.
Dalam pengisian tersebut, Ustaz Shuhaib menekankan kepentingan generasi muda untuk terus mengembangkan idea, mencabar pemikiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia sebagai ciri penting seorang pemimpin.
“Generasi muda perlu tampil dengan idea-idea baharu, berani mencabar pemikiran dan berkembang seiring dengan perubahan dunia. Inilah antara perkara paling penting yang perlu ada pada seorang pemimpin,” katanya.
Menerusi sesi tersebut, para peserta turut dibawa memahami prinsip kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat serta menghayatinya untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan peranan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.
Program diteruskan dengan sesi forum yang mengetengahkan pengalaman mahasiswa dalam menjayakan projek-projek kemanusiaan sepanjang musim panas yang lalu. Forum tersebut menampilkan mahasiswa dari University of Warwick, University of Sheffield, University of Manchester dan Imperial College London.
Perkongsian pengalaman daripada pelbagai latar belakang universiti ini memberikan pendedahan kepada peserta tentang realiti pelaksanaan projek kemanusiaan di lapangan, termasuk cabaran yang perlu dihadapi serta pendekatan untuk memastikan sesuatu inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Selain itu, aktiviti perbincangan berkumpulan turut diadakan bagi mengasah keupayaan peserta berfikir secara kritis dan menangani cabaran dalam pelaksanaan projek kemanusiaan. Setiap kumpulan diberikan kajian kes untuk dianalisis sebelum mengemukakan cadangan penyelesaian.
Secara keseluruhannya, program ini bertujuan memupuk kefahaman mahasiswa tentang kepimpinan berteraskan sirah, membina pemikiran kritis serta meningkatkan kesedaran dan semangat untuk menyumbang kepada masyarakat melalui khidmat kemanusiaan.
Penganjuran RISE Leadership Summit ’26 diharapkan dapat mendorong lebih ramai mahasiswa mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat, sekali gus melahirkan generasi pemimpin yang berprinsip, berfikiran matang dan bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.


