JOHOR BAHRU, 10 November – Semangat kesukanan dan kebersamaan mewarnai sambutan Hari Sukan Negara Komuniti PPR Desa Mutiara yang berlangsung meriah pada 25 Oktober yang lalu di Dewan Terbuka PPR Desa Mutiara.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 106 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur menerusi pelbagai aktiviti yang menggalakkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah senamrobik dan sukaneka yang melibatkan 50 orang peserta. Acara seperti boling kelapa, mengisi air menggunakan span, baling tin dan membawa bola pingpong menggunakan sudu menceriakan suasana di samping menguji ketangkasan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
Selain aktiviti sukan, seramai 50 orang turut menerima pemeriksaan kesihatan percuma bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan. Turut diadakan, aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai untuk menggalakkan amalan kitar semula dan memupuk tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Penganjuran ini merupakan hasil kerjasama antara ISMA Johor Bahru, Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK), KRT PPR Desa Mutiara, D’ Mutiara Fitness dan I-Medik Johor ini mencerminkan komitmen bersama dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Lebih daripada sekadar aktiviti sukan, program ini turut menyediakan ruang kepada penduduk untuk beramah mesra, membina persahabatan dan mengukuhkan semangat kejiranan. Penyertaan pelbagai peringkat usia memperlihatkan bahawa aktiviti kemasyarakatan mampu menjadi wadah untuk menyatukan masyarakat melalui pengalaman dan kegembiraan bersama.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kerjasama, sukarelawan dan penduduk yang telah menyumbang tenaga serta memberikan sokongan bagi menjayakan program ini.
Semoga inisiatif seumpama ini dapat diteruskan bagi melahirkan komuniti yang lebih sihat, prihatin dan bersatu padu.
Sukan bukan sekadar menyihatkan tubuh badan, tetapi juga menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dan memperkukuh ukhuwah.


