SHAH ALAM, 16 November – Hampir 100 peserta daripada pelbagai peringkat usia menyertai program Riadah Mega ISMA yang menghimpunkan ISMA Kota Raja, Shah Alam, Subang Jaya dan Puncak Alam di sini, pagi semalam.
Aktiviti yang bermula dari jam 8.30 hingga 10.30 pagi itu turut disertai peserta daripada Masjid Al-Firdaus Jenjarom dan PEMBINA Shah Alam, melibatkan golongan kanak-kanak, remaja, belia serta dewasa.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat, program ini turut menjadi platform mengeratkan ukhuwah dan membina hubungan silaturahim antara komuniti serta cawangan yang terlibat.
Dalam perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad bin Ismail, beliau menekankan bahawa seorang mukmin perlu memiliki kekuatan fizikal, kesihatan yang baik dan tubuh badan yang cergas.
Beliau turut mengingatkan peserta agar tidak mengabaikan tanggungjawab kepada Allah dalam usaha menjaga kesihatan diri.
“Sebelum kita datang untuk menyihatkan tubuh badan pada waktu pagi ini, pastikan kita telah menunaikan hak kita kepada Allah terlebih dahulu, iaitu solat Subuh,” kata Ustaz Mohamad.
Program ini diharapkan dapat menyemai kesedaran bahawa kesihatan dan kecergasan fizikal merupakan antara aspek penting dalam membentuk seorang mukmin yang kuat, aktif dan mampu melaksanakan tanggungjawab kepada agama serta masyarakat.


