KERIAN, 25 November – Program Riadah Badminton Wanita telah berjaya dilaksanakan pada Sabtu lalu bertempat di Dewan Kerian Permai dengan penyertaan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada wanita dan remaja perempuan 31 Oktober lalu.
Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan wanita dan remaja perempuan dalam aktiviti sukan serta membudayakan gaya hidup sihat. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah dan menjalin hubungan silaturahim antara peserta dalam suasana santai dan mesra.
Selain aktiviti badminton, program turut diserikan dengan pengisian ilmu bertajuk Tawazun (Keseimbangan) yang disampaikan oleh Nor Ashida Ahmad.
Dalam pengisian tersebut, beliau menekankan kepentingan keseimbangan dalam kehidupan yang merangkumi aspek fizikal, rohani dan tanggungjawab seharian. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap urusan kehidupan di dunia boleh dilaksanakan seiring dengan usaha menjadikannya sebagai bekalan untuk akhirat.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti yang menyatukan komuniti wanita, mengukuhkan ukhuwah serta membina masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang memberikan sokongan dalam menjayakan program ini.


