Bantah penjualan arak kerana sayang

Oleh: Zulfakar Ishak

NILAI, 30 Julai – “Tujuan kita buat bantahan arak pada hari ini adalah kerana sayang kepada sahabat-sahabat kita yang beragama Islam,” begitulah kata-kata Tuan Hj Rosli Bin Mohd Derus selaku Pengerusi Surau Al-Ikhlas Nilai Perdana.

Menurutnya lagi, bantahan penjualan arak ini hendaklah kita lakukan dengan bijaksana agar segala usaha yang kita jalankan tidak menyinggung mana-mana pihak.

Bantahan penjualan arak pada hari ini dibuat adalah menyahut seruan kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang dilancarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia pada awal Mac lalu.

Yang Dipertua Isma Nilai, En. Afizhi bin Atan berkata, “99 Speedmart Nilai Perdana ini bukan satu-satunya tempat yang kita akan buat bantahan, selepas ini semua kawasan yang penduduknya majoriti muslim kita akan buat juga bantahan supaya tiada lagi penjualan arak.”

Tambahan lagi, bantahan ini bukan hanya sekadar menghantar memorandum, tetapi akan dipantau secara rapat oleh penduduk setempat.

Ini ditegaskan lagi oleh En. Awalludin Bin Ismail, selaku Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Seruni Taman Nilai Perdana, “kita akan pantau dalam masa 10 hari bermula dari hari ini agar ada tindakan segera dari pihak pengusaha 99 Speedmart Nilai Perdana ini, sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan kita akan lakukan tindakan selanjutnya.”

Turut sama hadir pada hari ini, En Muhammad Riduan Bin Muhamad, Pengerusi Pusat Komuniti Anjung Hikmah, Nilai Perdana dan wakil-wakil penduduk sekitar Nilai Perdana.

Memorandum bantahan penjualan arak ini telah diserahkan kepada Penolong Pengurus 99 Speedmart Nilai Perdana.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat