Berfikir Itu Ibadah

Oleh : Ustaz Suhaib Ar-Rumy Bin Selamat

Kadangkala kesibukan kerja harian menuntut banyak masa untuk menyelesaikan satu-satu tugasan dengan cepat. Lebih-lebih lagi setiap hari dimulakan dengan mengurus anak-anak ke sekolah, memenuhi keperluan rumah, menyantuni masyarakat dan tetangga yang semuanya ini tidak dapat dinafikan ‘menyedut’ tenaga harian kita dengan kadar maksima.

Jarang-jarang sekali kita berpeluang untuk mencapai buku-buku yang tersusun cantik di rak ruang tamu apatah lagi nak menyelaknya helaian demi helaian. Biasanya jari ini lebih selesa untuk ‘skrol’ skrin telefon pintar sehingga tanpa sedar telah mengambil banyak masa untuk perkara yang tidak berfaedah. Kurangnya masa kita berfikir dan tadabbur kejadian alam dan segala peristiwa yang terjadi dengan mendalam untuk mendapatkan ma’rifah dan hikmah.

Kita manfaatkan masa kehidupan yang masih berbaki untuk pelbagai perkara. Salah satunya adalah memanfaatkan nikmat yang Allah SWT kurniakan iaitu nikmat akal dengan berfikir.

Begitu banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh keutamaan berfikir bagi manusia:
1. Tidakkah manusia berfikir (80:Al-Mu’minun)
2. Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda bagi golongan yang berfikir. (4: Ar-Ra’d)

Juga Allah SWT memberi amaran jika manusia tidak berfikir:
1. Sesungguhnya seburuk-buruk makhluk di sisi Allah SWT ialah mereka yang pekak dan bisu dan tidak berfikir (untuk memahami kebenaran). (22: Al-Anfaal)
2. Dan mereka berkata: Kalaulah kami dengar dan berfikir tidaklah kami menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. (10: Al-Mulk)

Berfikir membawa kepada mengenali Allah SWT dengan menghayati keindahan ciptaan-Nya. Setiap peristiwa yang terjadi merupakan tanda-tanda daripada Allah SWT. Ini membawa kepada kita mengagungkan keesaan, kekuatan, kebesaran dan keperkasaan Allah SWT di bumi dan langit. Berfikir akan memandu kita kepada rasa takut, berharap dan menyerah kepada Allah SWT. Kita memahami hakikat penciptaan diri dengan berfikir dan menganalisa peristiwa-peristiwa ini.

Kerana inilah Yahudi dan musuh-musuh Islam bekerja keras siang dan malam untuk kita menjadi umat yang tidak berfikir. Kita jadi manusia yang leka dengan maklumat yang tidak berfaedah. Kita lebih memilih hiburan yang berlebihan daripada memerah akal untuk berfikir sesuatu yang boleh memberi sumbangan kepada umat Islam dan manusia semuanya.

Besarnya pahala berfikir ini sehingga Aisyah R.Anha berkata ketika turunnya ayat “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan bersilih gantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi golongan yang berfikir” (190: Ali Imran)

Rasulullah SAW bangun menunaikan solat malam sehingga datang Bilal R.A untuk melaungkan azan, dia mendapati Rasulullah SAW sedang menangis. Bilal R.A bertanya kenapa menangis sedangkan Allah SWT telah mengampunkan dosa mu yang lalu dan akan datang?

Rasulullah SAW menjawab: Tidakkah aku mahu menjadi hamba yang bersyukur wahai Bilal? Bagaimana mungkin aku tidak menangis sedangkan malam tadi telah turun kepadaku ayat “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan bersilih gantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi golongan yang berfikir” (190: Ali Imran). Celakalah bagi mereka yang membaca ayat ini dan tidak berfikir dengannya. Hadis riwayat Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Hibban.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat