SUBANG JAYA, 8 November – Program Boling ISMA Subang Jaya 2026 anjuran ISMA Cawangan Subang Jaya berjaya menghimpunkan seramai 42 orang peserta yang terdiri daripada ahli ISMA Subang Jaya dan remaja komuniti setempat yang diadakan di Ampang Superbowl, Subang USJ 18 Oktober lalu.
Program yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 5.00 petang ini mengetengahkan aktiviti boling individu sebagai medium untuk mengeratkan ukhuwah dan membina hubungan yang lebih akrab antara ahli ISMA dengan remaja komuniti Subang Jaya.
Penganjuran program ini bukan sekadar memberi peluang kepada peserta untuk beriadah, malah menjadi ruang untuk mereka berinteraksi, berkenalan dan mengukuhkan hubungan dalam suasana santai dan mesra.
Menariknya, program ini turut mengetengahkan tema warna Palestin melalui pemakaian peserta sebagai simbol solidariti dan tanda keprihatinan terhadap perjuangan rakyat Palestin. Elemen ini mencerminkan usaha menyemai kesedaran terhadap isu Palestin dalam kalangan komuniti, termasuk golongan remaja.
Melalui penganjuran aktiviti seumpama ini, ISMA Cawangan Subang Jaya berharap hubungan ukhuwah antara ahli dan masyarakat setempat dapat terus diperkukuh. Pendekatan riadah juga dilihat sebagai salah satu medium berkesan untuk mendekati komuniti, khususnya dalam kalangan remaja, di samping membina semangat kebersamaan dan menggalakkan gaya hidup sihat.


