Wanita merupakan tonggak penting dalam pembinaan keluarga dan masyarakat. Peranan wanita tidak terbatas kepada mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak, bahkan turut merangkumi tanggungjawab mendidik generasi, membentuk nilai kehidupan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti dan ummah. Justeru, kesejahteraan sesebuah masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada kesejahteraan jiwa wanitanya.
Wanita yang memiliki kekuatan iman, kematangan emosi dan keteguhan jati diri berupaya menjadi sumber ketenangan dalam keluarga, kekuatan dalam masyarakat serta pemangkin kepada pembinaan ummah yang sejahtera. Namun, untuk melahirkan wanita yang mampu memainkan peranan sebesar ini, kita perlu terlebih dahulu memahami realiti dan cabaran yang sedang dihadapi oleh wanita hari ini.
Antara tanggungjawab dan tuntutan kehidupan
Kehidupan wanita masa kini semakin mencabar. Perubahan sosial, tekanan ekonomi, tuntutan kerjaya, tanggungjawab kekeluargaan, cabaran mendidik anak-anak serta pengaruh persekitaran digital mewujudkan pelbagai tekanan yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan mental.
Dalam satu masa, seorang wanita mungkin perlu memainkan pelbagai peranan sebagai isteri, ibu, anak, pekerja, pendidik dan pemimpin masyarakat. Setiap peranan hadir dengan tuntutan dan tanggungjawab tersendiri. Ada kalanya, tuntutan tersebut bertembung sehingga menyebabkan wanita berhadapan dengan keletihan fizikal, tekanan emosi dan konflik dalaman.
Lebih membimbangkan, terdapat wanita yang kelihatan kuat dan mampu menjalankan tanggungjawab seperti biasa, sedangkan mereka sedang bergelut dengan tekanan yang tidak diketahui oleh orang di sekeliling.Ada yang memendam kesedihan, ada yang berhadapan dengan keresahan berpanjangan dan ada juga yang mengalami keletihan emosi sehingga kehilangan motivasi dalam kehidupan seharian.
Realiti ini mengingatkan kita bahawa kekuatan wanita tidak seharusnya diukur berdasarkan sejauh mana mereka mampu menanggung beban tanpa mengeluh. Sebaliknya, kekuatan juga terletak pada kemampuan mengenali keterbatasan diri, mengurus emosi, mendapatkan sokongan dan bangkit menghadapi cabaran dengan lebih bijaksana. Kita perlu membina kefahaman bahawa wanita juga memerlukan ruang untuk dijaga, didengar, difahami dan dihargai.
Kesejahteraan jiwa bermula dengan hubungan yang kukuh dengan Allah
Dalam Islam, kesejahteraan jiwa mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kekuatan iman dan hubungan seseorang hamba dengan Allah SWT.
Allah SWT berfirman :
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوب
Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia
(Surah al-Ra’d 13: 28)
Ayat ini memberikan asas yang penting bahawa ketenangan hati dan jiwa perlu dibina melalui hubungan yang kukuh dengan Allah SWT melalui solat, zikir, membaca al-Quran dan doa. Serta pergantungan kepada Allah SWT merupakan antara sumber kekuatan rohani yang membimbing seseorang menghadapi ujian hidup.
Namun, kesejahteraan jiwa tidak seharusnya difahami secara sempit seolah-olah seseorang yang mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental mempunyai kelemahan iman.
Islam merupakan agama yang mengiktiraf fitrah manusia, termasuk emosi, perasaan, keletihan dan keterbatasan. Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya tentang kepentingan kasih sayang, sokongan, kesabaran dan usaha mencari penyelesaian ketika berhadapan dengan kesukaran. Oleh itu, penjagaan kesejahteraan jiwa perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek rohani, emosi, mental, fizikal dan sosial.
Wanita perlu diberikan kefahaman bahawa mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga, kaunselor, ahli psikologi atau profesional kesihatan mental bukanlah tanda kelemahan iman. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada ikhtiar dalam menjaga amanah kehidupan yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Kesihatan mental bukan isu peribadi semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama
Satu perkara yang perlu diberikan perhatian ialah kecenderungan masyarakat untuk meletakkan tanggungjawab kesejahteraan keluarga hampir sepenuhnya di atas bahu wanita. Wanita sering diharapkan untuk menjadi individu yang sabar, memahami, bertolak ansur dan sentiasa mengutamakan keperluan orang lain. Namun, dalam masa yang sama, keperluan emosi dan mental mereka kadangkala tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
Kita perlu mengubah pendekatan ini.
Kesejahteraan wanita bukan tanggungjawab wanita seorang. Ia merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan suami, anak-anak, keluarga besar, komuniti dan institusi masyarakat. Suami perlu memahami bahawa sokongan emosi dan penghargaan terhadap isteri merupakan sebahagian daripada tanggungjawab membina rumah tangga. Anak-anak pula perlu dididik supaya menghargai pengorbanan ibu dan memahami bahawa ibu juga mempunyai keperluan untuk berehat dan mendapatkan sokongan. Masyarakat juga perlu membina budaya yang lebih prihatin, empati dan tidak mudah menghukum.
Apabila seseorang wanita meluahkan tekanan atau kesukaran yang dihadapinya, kita perlu belajar mendengar sebelum memberikan penilaian. Apabila seorang ibu meminta bantuan, kita tidak seharusnya menganggapnya gagal menjalankan tanggungjawab. Sebaliknya, kita perlu melihatnya sebagai usaha untuk mendapatkan kekuatan agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Komuniti yang bahagia bukanlah komuniti yang bebas daripada masalah, tetapi komuniti yang mempunyai keupayaan untuk saling membantu ketika anggotanya berhadapan dengan kesukaran.
Mengurus tekanan dan mengenali tanda kelelahan emosi
Dalam usaha membina wanita yang sejahtera, pengetahuan tentang pengurusan emosi dan tekanan kehidupan perlu dipertingkatkan. Wanita perlu mengenali tanda-tanda awal tekanan yang berpanjangan seperti gangguan tidur, mudah marah, hilang motivasi, sukar memberikan tumpuan, kerap berasa cemas, keletihan yang tidak pulih dengan rehat serta kehilangan minat terhadap perkara yang sebelum ini menggembirakan.
Keadaan kelelahan emosi atau burnout juga perlu diberikan perhatian. Hal ini, boleh berlaku apabila seseorang berhadapan dengan tekanan berpanjangan tanpa ruang pemulihan dan sokongan yang mencukupi.
Antara langkah yang boleh diusahakan :
1. Membina hubungan dengan Allah SWT.
Memelihara solat, memperbanyak zikir, membaca al-Quran dan memperkukuh pergantungan kepada Allah sebagai sumber kekuatan rohani.
2. Mengenali kemampuan dan keterbatasan diri.
Belajar menetapkan keutamaan, mengurus masa dan tidak memaksa diri memenuhi semua tuntutan secara serentak.
3. Menjaga kesihatan fizikal.
Memberikan perhatian kepada pemakanan, aktiviti fizikal, tidur dan rehat yang mencukupi.
4. Membina hubungan sosial yang positif.
Mempunyai lingkungan keluarga, sahabat dan komuniti yang boleh memberikan sokongan serta ruang untuk berkongsi perasaan.
5. Mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan.
Tekanan emosi yang berpanjangan atau gejala yang mengganggu kehidupan harian wajar mendapatkan penilaian dan bantuan daripada pihak yang berkelayakan.
Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu wanita menjaga diri, malah membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab kehidupan dengan lebih seimbang dan berkesan.
Mengambil inspirasi daripada wanita hebat dalam sejarah Islam
Sejarah Islam memperlihatkan bahawa wanita mempunyai kedudukan yang besar dalam pembinaan peradaban.
Ummul Mukminin Khadijah RA merupakan contoh wanita yang memiliki kekuatan jiwa, kebijaksanaan, keteguhan prinsip dan pengorbanan yang luar biasa. Beliau bukan sahaja seorang isteri yang menyokong Rasulullah SAW, bahkan menjadi sumber ketenangan dan kekuatan ketika Baginda menghadapi cabaran besar pada permulaan dakwah Islam.
Begitu juga Aisyah RA yang terkenal dengan keluasan ilmu, kecerdasan dan sumbangannya dalam menyampaikan ilmu kepada umat Islam. Beliau menjadi antara tokoh penting dalam periwayatan hadis dan perkembangan kefahaman Islam.
Tokoh-tokoh ini memperlihatkan bahawa wanita Muslimah bukan sekadar mempunyai peranan dalam lingkungan keluarga, bahkan berupaya menjadi sumber ilmu, kekuatan dan perubahan kepada masyarakat.
Justeru, pembinaan wanita Muslimah hari ini perlu melangkaui usaha melahirkan wanita yang sekadar mampu mengurus kehidupan peribadi dan keluarga. Kita perlu membina wanita yang mempunyai kefahaman Islam yang jelas, kekuatan intelektual, kematangan emosi serta kesedaran terhadap tanggungjawab membangunkan ummah. Wanita perlu diberikan peluang untuk belajar, berkembang, memimpin dan menyumbang berdasarkan kemampuan serta potensi yang dimiliki.
Membina komuniti yang saling menguatkan
Kesejahteraan jiwa wanita tidak boleh dipisahkan daripada persekitaran tempat mereka hidup dan berinteraksi. Keluarga, kejiranan, institusi pendidikan, organisasi masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan mempunyai peranan penting dalam mewujudkan ekosistem yang menyokong kesejahteraan wanita. Kita memerlukan lebih banyak ruang pertemuan yang membolehkan wanita berkongsi pengalaman, mendapatkan ilmu, membina persahabatan dan saling memberikan sokongan.
Dalam konteks ini, organisasi wanita Islam perlu memainkan peranan yang lebih proaktif. Program pembangunan wanita tidak seharusnya tertumpu kepada peningkatan kemahiran dan kepimpinan semata-mata, tetapi turut memberikan perhatian kepada pembinaan jiwa, pengukuhan rohani, pengurusan emosi dan kesihatan mental.
Inilah antara semangat yang ingin dibawa melalui penganjuran Seminar Wanita Islam (SERWANIS) bertemakan “Wanita Jiwa Sejahtera, Komuniti Bahagia”. Penganjuran SERWANIS merupakan satu usaha untuk membuka ruang kesedaran dan perbincangan tentang kesejahteraan jiwa wanita melalui pendekatan ilmu, panduan Islam dan perkongsian profesional. Melalui pengisian ceramah, forum interaktif dan bengkel praktikal, wanita diberikan peluang untuk memahami cabaran emosi yang dihadapi, mengenali tanda-tanda burnout, mempelajari teknik mengurus keresahan serta membina kemahiran memberikan sokongan kepada individu di sekeliling. Lebih penting, usaha ini diharapkan dapat membantu mengurangkan stigma masyarakat terhadap isu kesihatan mental dan membina budaya saling memahami dalam komuniti.
Wanita ISMA melihat usaha memperkasa kesejahteraan wanita sebagai sebahagian daripada tanggungjawab membina keluarga dan masyarakat yang berteraskan nilai Islam. Komitmen ini perlu diteruskan melalui pendidikan, pembinaan kepimpinan, jaringan sokongan dan program pembangunan wanita yang berterusan.
Melahirkan wanita sejahtera sebagai pembina ummah
Akhirnya, matlamat membina wanita yang sejahtera bukanlah sekadar untuk memastikan wanita dapat menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bahagia. Matlamat yang lebih besar ialah melahirkan wanita yang mempunyai kekuatan untuk memainkan peranan dalam pembinaan keluarga, masyarakat dan ummah. Kita mahu melahirkan wanita yang kuat imannya, matang emosinya, luas ilmunya dan jelas matlamat kehidupannya. Wanita yang mampu mengurus dirinya, membimbing keluarganya, menyumbang kepada masyarakat serta menjadi pembawa rahmah dan penyebar kebaikan.
Kita juga perlu memahami bahawa wanita yang sejahtera bukanlah wanita yang tidak pernah diuji, tidak pernah menangis atau tidak pernah mengalami kesukaran. Sebaliknya, wanita yang sejahtera ialah wanita yang mempunyai kekuatan untuk menghadapi ujian, kebijaksanaan mencari penyelesaian, keberanian mendapatkan bantuan dan keyakinan untuk terus melangkah dengan panduan Allah SWT.
Apabila wanita dibangunkan jiwanya, keluarga akan memperoleh kekuatan. Apabila keluarga dibina dengan nilai yang baik, masyarakat akan menjadi lebih sejahtera. Dan apabila masyarakat diperkukuh dengan iman, ilmu dan akhlak, maka terbinalah asas kepada pembangunan ummah yang lebih gemilang. Inilah cita-cita yang perlu kita usahakan bersama. Bukan sekadar melahirkan wanita yang mampu bertahan menghadapi kehidupan, tetapi wanita yang mampu membawa perubahan dan membina peradaban. Kerana sesungguhnya, komuniti yang bahagia bermula dengan jiwa-jiwa yang sejahtera.
Wallahu ‘Alam
Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA


