Malaysia sedang mempercepatkan pembangunan digital melalui pelaburan pusat data, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan perluasan perkhidmatan digital. Namun, di sebalik perkembangan ini, satu persoalan mendesak perlu diberikan perhatian. Adakah keupayaan keselamatan dan ketahanan siber negara berkembang seiring dengan kepesatan pendigitalannya?
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang menyumbang RM476.8 bilion atau 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025. Pada tahun yang sama, CyberSecurity Malaysia merekodkan 7,616 insiden yang dilaporkan kepada Cyber999, diikuti 1,434 laporan dalam tempoh dua bulan pertama 2026.
Walaupun angka tersebut tidak menggambarkan keseluruhan ancaman siber, tetapi data ini memberikan peringatan bahawa pertumbuhan ekonomi digital perlu disokong oleh keupayaan perlindungan yang setara.
Ancaman siber hari ini bukan lagi sekadar penipuan dalam talian atau kebocoran maklumat peribadi. Serangan perisian tebusan, pencerobohan sistem dan gangguan terhadap perkhidmatan penting berpotensi menjejaskan operasi organisasi serta kesejahteraan masyarakat.
Bayangkan sekiranya sistem digital hospital, institusi kewangan atau perkhidmatan kerajaan tergendala akibat serangan siber. Persoalannya bukan sekadar bagaimana serangan berlaku, tetapi sejauh mana perkhidmatan tersebut mampu diteruskan dan dipulihkan.
Justeru, keutamaan negara perlu beralih daripada sekadar mencegah serangan kepada membina daya tahan siber.
Organisasi, khususnya yang mengendalikan infrastruktur kritikal, perlu memperkukuh pengurusan risiko, menguji pelan tindak balas insiden, memastikan keberkesanan sistem sandaran dan melaksanakan latihan pemulihan secara berkala. Keselamatan tidak boleh dinilai berdasarkan kewujudan polisi atau teknologi semata-mata, sebaliknya melalui kemampuan sebenar untuk menghadapi gangguan.
Pada peringkat nasional, pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) perlu diterjemahkan kepada pengukuhan keupayaan operasi, penyelarasan antara agensi dan perkongsian maklumat ancaman yang lebih berkesan.
Dalam masa yang sama, Malaysia perlu menilai semula kebergantungan strategik terhadap teknologi dan penyedia perkhidmatan asing. Penyimpanan data dalam negara tidak semestinya menjamin kawalan sepenuhnya terhadap data tersebut. Aspek bidang kuasa perundangan, kawalan akses, pengurusan kunci penyulitan dan kemampuan berpindah kepada penyedia alternatif perlu diberikan perhatian.
Hal ini bukan bermaksud Malaysia harus menolak teknologi antarabangsa. Sebaliknya, kerjasama global perlu dimanfaatkan untuk membangunkan kepakaran, industri dan kemampuan teknologi tempatan agar negara mempunyai lebih banyak pilihan dalam membuat keputusan strategik.
Pada peringkat organisasi pula, keselamatan siber mesti menjadi tanggungjawab pengurusan tertinggi, bukan diserahkan sepenuhnya kepada jabatan teknologi maklumat. Pembangunan budaya keselamatan, latihan pekerja dan pengukuhan tadbir urus perlu dilaksanakan secara berterusan.
Masyarakat juga perlu meningkatkan kewaspadaan melalui penggunaan pengesahan pelbagai faktor, pengemaskinian peranti serta penelitian terhadap pautan dan komunikasi yang mencurigakan. Namun, tanggungjawab melindungi pengguna turut terletak pada organisasi dan penyedia teknologi.
Malaysia telah menunjukkan kemajuan besar dalam pembangunan infrastruktur digital. Kini, keutamaan yang tidak kurang penting ialah memastikan infrastruktur tersebut selamat, berdaya tahan dan dapat dikendalikan berdasarkan kepentingan negara.
Kedaulatan siber bukan sekadar persoalan di mana teknologi dibangunkan atau data disimpan. Ia berkaitan kemampuan negara untuk melindungi sistemnya, mengurus kebergantungan dan mengekalkan kebebasan membuat keputusan strategik.
Akhirnya, kekuatan digital sesebuah negara bukan hanya diukur melalui keupayaannya membangunkan sistem, tetapi juga melalui kemampuan mempertahankan dan memastikan sistem tersebut terus berfungsi ketika berhadapan dengan ancaman.
Qamarul Nazrin bin Harun
Ketua Unit Kajian Techsamana


