Dong Zong tak perlu cetus isu tulisan Jawi jika anggap tiada kaitan proses Islamisasi

Putrajaya, 16 Jan – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak lagi perlu menimbulkan polemik berkaitan pelaksanaan tulisan Jawi jika menganggap ianya tiada kena-mengena dengan proses Islamisasi.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata, jika pertubuhan itu mengiktiraf tulisan Jawi sebagai bukan satu Islamisasi, maka ia bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan sehingga menambah kekusutan dan menggugat perpaduan.

“Pihak Dong Zong perlu membawa kepada meja perundingan dan dialog dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya ada pertikaian berkaitan dengan kaedah pengajaran.

“Dong Zong juga perlu konsisten dengan kenyataan mereka bahawa tulisan Jawi adalah warisan seni Bahasa Melayu dan tidak bercakap sebaliknya apabila berdepan dengan kaum India atau Cina.

“Jadi, semua pihak perlu akur dengan keputusan KPM dan jangan menimbulkan perkara yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan perpaduan kaum,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai intipati pertemuan pihak Dong Zong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Putrajaya, semalam.

Dong Zong dalam pertemuan dengan Naib Presiden AMANAH itu menyatakan bahawa mereka bersetuju pelaksanaan tulisan Jawi bukan untuk mengislamkan pelajar daripada agama lain.

Dong Zong turut dilapor bersetuju dengan pelaksanaan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular bukan untuk mengislamkan pelajar bukan Islam.

Sementara itu, Dr Mujahid berkata, perkara itu disepakati dalam pertemuan beliau dengan wakil kumpulan pendidikan Cina itu serta 11 pertubuhan berkaitan pendidikan Cina dan Tamil di pejabatnya.

“Selain mengakui pembelajaran Jawi tidak bermotifkan Islamisasi kepada pelajar bukan Islam, katanya, kumpulan itu turut menerima Jawi sebahagian warisan budaya negara yang perlu dihormati semua pihak seperti kaligrafi Cina, tulisan Tamil dan etnik lain di negara ini.

“Kami juga bersetuju tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pengajaran dan pembelajaran Jawi dan Dong Jiao Zong juga bukan pertubuhan rasis.

“Isu yang dibangkitkan adalah kaedah pelaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua pihak,” katanya ketika membacakan kenyataan bersama pada sidang media sejurus pertemuan itu.

Antara yang hadir dalam pertemuan 90 minit itu ialah Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim; Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen; Penolong Setiausaha Kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Yong Yew Wei dan Pertubuhan Masyarakat Berasal Dari India Sedunia Malaysia, A Ravendiran Arjunan. -malaysiadateline

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat