Ekonomi Madani, Tidak Memperkasa rakyat?

Secara umumnya pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Khamis lalu boleh disifatkan sebagai biasa atau stereotaip. Hal ini kerana inisiatif- inisiatif memperkasa ekonomi rakyat yang diumumkan bukanlah inisiatif yang baharu tetapi boleh dikatakan lebih kepada penstrukturan semula atau ‘wajah baharu’ daripada inisiatif- insiatif kepimpinan terdahulu.

Boleh disimpulkan tiada ‘wow faktor’ konkrit terhadap penyelesaian isu rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan peluang pekerjaan yang mempunyai pendapatan setimpal dengan keadaan ekonomi semasa. Hanya inisiatif jangka pendek melalui pemberian e-tunai B40 & M40 serta bantuan khas penghargaan kepada penjawat awam dan pesara berpencen dalam pengumuman kali ini.

Dibimbangi pemakluman sebegini hanya sekadar ungkapan manis mulut pimpinan kepada rakyat namun pelaksanannya selepas itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Persoalan timbul apabila setelah lapan bulan Perdana Menteri yang juga selaku Menteri Kewangan menerajui kerajaan, baru kini inisiatif Ekonomi Madani: Meperkasa Rakyat diumumkan. Secara asasnya inisiatif- iniasatif yang diumumkan baik namun masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperincikan dan keutamaan untuk dilaksanakan.

Dengan memanjangkan program e-dompet kepada B40 & M40 (berumur 21 ke atas) daripada program sebelumnya iaitu e-Belia Rahmah yang mensasarkan belia (berumur 18-20 tahun) boleh disifatkan tindakan populis lebih- lebih lagi negara bakal berhadapan PRN di enam negeri pada awal bulan berikutnya. Kerajaan akan membelanjakan lebih kurang RM1 bilion bagi program e-dompet berbanding RM400 juta dalam program e-Belia Rahmah sedangkan kerajaan sebelum ini berkira- kira tentang hutang negara yang semakin membimbangkan.

Penekanan terhadap isu hutang negara yang semakin meningkat dijangka melebihi 60% daripada jumlah KDNK ini dikatakan menjadi kekangan kepada kerajaan dalam menyalurkan belanja pembangunan boleh disifatkan sebagai retorik. Kerajaan sebenarnya masih mempunyai sumber- sumber pendapatan yang boleh dioptimumkan salah satunya melalui dasar kutipan cukai yang lebih efektif terutama kepada syarikat- syarikat gergasi atau kapitalis yang banyak memperoleh keuntungan daripada situasi ekonomi semasa.

Isu – isu lain yang diketengahkan seperti agenda serantau, pendidikan, kesihatan, keterjaminan makanan, pelaburan dan sebagainya hanya disentuh dalam aspek perancangan namun perlu dinilai dari segi keberkesanan perlaksaannya di masa akan datang. Ditambah pula dengan ketidakstabilan politik dalaman dan integriti pemimpin yang menduduki posisi penting kerajaan kini menjadi tanda tanya sama ada kerajaan mampu melaksanakan perancangannya dalam memperkasa ekonomi rakyat dan negara.

Hj Mohamad Nor Sazelim bin Mohamad
Perunding Kanan Ekonomi, Perbandaran, Pertanian dan Alam Sekitar ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat