ALOR SETAR, 2 Oktober – Karnival Malaysia Kampung Lahar Budi yang berlangsung pada 25 September lalu menjadi wadah memperkukuh semangat kejiranan, mengeratkan ukhuwah serta menghidupkan kembali permainan tradisional dalam kalangan masyarakat setempat.
Program bertemakan Berjiwa Merdeka, Membina Ummah itu mengetengahkan pelbagai aktiviti sukan rakyat dan kebudayaan bersempena sambutan kemerdekaan negara.
Pengarah program merangkap Ketua Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Alor Setar, Ustaz Muhammad Zuhair bin Abdul Rahman, berkata penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar bertujuan menyediakan ruang riadah dalam komuniti, sebaliknya menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai semangat kebersamaan.
“Sebagai pengarah program, saya berharap agar Karnival Malaysia Kampung Lahar Budi bukan sekadar menjadi medan untuk beriadah dan berseronok, tetapi turut menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah, memperkukuh semangat kejiranan serta menghidupkan kembali warisan dan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas program berkenaan.
Menurut Ustaz Zuhair lagi, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak, remaja, belia dan kaum wanita, amat penting dalam membina hubungan yang lebih erat antara generasi.
Katanya, aktiviti kemasyarakatan seperti itu turut berperanan memupuk semangat kerjasama, kesukanan dan persefahaman, sekali gus membentuk komuniti yang harmoni serta saling menyokong.
Karnival berkenaan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan rakyat dan tradisional, mengimbau nostalgia lama, tarik tali, musang berjanggut serta eksplorasi merdeka. Aktiviti mewarna dan gubahan turut disenaraikan bagi memeriahkan program.
Penganjuran yang turut mengetengahkan tema pakaian dulu kala itu juga memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali serta menghargai warisan budaya melalui permainan tradisional seperti congkak, wau, batu seremban dan ceper.
Pada sebelah malam, program diteruskan dengan ceramah khas Sejarah Kedah selepas solat Maghrib sebagai pengisian ilmu untuk memperkenalkan sejarah dan warisan negeri kepada masyarakat.
Mengulas mengenai hala tuju program, Muhammad Zuhair berharap agar penganjuran seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan masyarakat yang lebih meluas serta pengisian yang lebih pelbagai.
“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan masyarakat yang lebih meluas dan pengisian yang lebih pelbagai.
“Mudah-mudahan Karnival Sukan Rakyat menjadi salah satu usaha berterusan dalam membina komuniti yang aktif, harmoni dan saling menyokong, di samping terus menghargai warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti kita,” katanya.
Penganjuran Hari Karnival Malaysia itu turut mencerminkan usaha menjadikan institusi masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya tempatan.


