KOTA KINABALU, 6 Oktober – Program Hari Komuniti Taman Putera Jaya 2026 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana yang meriah, harmoni dan penuh ukhuwah pada 20 September lalu.
Program yang bertemakan “Dari Komuniti untuk Komuniti” ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penyertaan lebih 100 orang daripada komuniti sekitar Taman Putera Jaya, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja, wanita dan lelaki dewasa.
Program dimulakan dengan qiamullail dan kuliah Subuh berjemaah, sebagai pengisian rohani sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti santai dan sihat. Antara aktiviti yang berlangsung ialah pertandingan bola sepak bagi dewasa dan remaja, serta sukaneka untuk kanak-kanak, remaja dan wanita dewasa.
Program turut dimeriahkan dengan gerai jualan makanan dan minuman, yang memberi ruang kepada komuniti untuk berniaga dan berinteraksi antara satu sama lain. Acara kemudiannya diakhiri dengan cabutan bertuah serta penyampaian medal dan hamper kepada para peserta.
Lebih daripada sekadar sebuah program, Hari Komuniti Taman Putera Jaya menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, membina ukhuwah dan menghidupkan semangat saling mengenali serta membantu dalam kalangan masyarakat setempat seterusnya menghidupkan Komuniti Ummah gagasan ISMA.
Menurut Naib Yang Di-Pertua ISMA Kota Kinabalu, Farid Firman yang juga pengarah program berharap agar penganjuran program ini menjadi sebab mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga, memupuk semangat kerjasama dan kebersamaan, serta memperkukuh ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Saya yakin dan percaya bahawa apabila semangat kebersamaan dan kesatuan ummah dapat dihidupkan dalam komuniti, kita bukan sahaja mampu membina masyarakat yang lebih harmoni, malah dapat mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik untuk semua,” katanya selepas program.


