Lembaran sejarah telah membuktikan bahawa ibu kota melambangkan identiti sesebuah negara mahupun kuasa. Bacalah atau pergilah melihat ibu kota tamadun-tamadun terdahulu semuanya mencerminkan falsafah mahupun identiti negaranya.
Buktinya, Madinah berkembang dengan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan urusan masyarakat. Baghdad pula dibina sebagai pusat pemerintahan, ilmu dan perdagangan Abbasiyah, manakala, Istanbul menampilkan konsep kulliye yang menghubungkan masjid, pendidikan, rawatan, kebajikan dan pasar.
Dalam konteks alam Melayu, Melaka memperlihatkan hubungan rapat antara istana, masjid, pelabuhan, perdagangan dan perundangan. Kota-kota ini berbeza bentuk, tetapi masing-masing memperlihatkan bagaimana ruang bandar menzahirkan cita-cita peradaban yang membangunkannya.
Ibu negara Kuala Lumpur pula apakah identitinya? Bagaimanakah identiti yang sepatutnya digambarkan? Apakah naratif yang telah pun menggambarkan Kuala Lumpur selama ini?
Ya, Islam dan Melayu adalah identiti yang sepatutnya tergambar pada Kuala Lumpur. Sejarah telah membuktikan, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang dibina di tapak perkuburan Melayu lama di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, batu asasnya diletakkan oleh Sultan Alaeddin Sulaiman Shah pada tahun 1908 dan masjid itu dibuka pada Disember 1909. Masjid Jamek kemudian menjadi masjid utama Kuala Lumpur sehingga pembukaan Masjid Negara pada tahun 1965. Fakta ini menunjukkan bahawa institusi Islam dan naungan Kesultanan Selangor bukan unsur sampingan bahkan merupakan sebahagian daripada lapisan awal sejarah pusat kota Kuala Lumpur.
Disebabkan itu, kita harus menyusur kembali sejarah Malaysia yang dahulunya gemilang dengan tamadun Islam kemudian dijajah. Namun begitu, statusnya masih kekal negara Islam. Ulama mazhab Syafi’ie antaranya al-Imam an-Nawawi dalam kitabnya Raudah at-Tholibin dan juga Imam ar-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj jelas menyebut bahawa apabila sesebuah negara itu penduduk asalnya umat Islam kemudian dijajah, maka ia masih kekal sebagai negara Islam.
Malangnya, walaupun Malaysia negara Islam dari sudut fiqh dan sejarahnya, ada sesetengah pihak menafikan fakta itu. Contohnya, baru-baru ini video montaj pelancongan Malaysia yang pernah tular, langsung tidak menunjukkan visual masjid sebagai identiti Islam. Sukar untuk menganggap bahawa insiden tersebut adalah kebetulan kerana sudah pasti penghasilan montaj tersebut telah melalui beberapa proses dan semakan hinggalah siap untuk dipersembahkan. Jelas di sini bahawa terdapat usaha-usaha untuk menafikan Islam sebagai identiti Malaysia.
Oleh itu, umat Islam perlu kembali menguasai ibu kota ini dan membawa aspirasi Islam ke dalamnya melalui usaha-usaha penglibatan politik, pengurusan pentadbiran, membangun ekonomi bumiputera dan sebagainya. Dengan Islam, seluruh umat manusia tidak kira agama bangsa akan mendapat rahmat dan keadilan, dengan syarat mestilah pemimpin atau wakil rakyat yang diangkat adalah di kalangan Muslim berwibawa.
Kuala Lumpur merupakan imej terbesar negara kita. Jangan sesekali rela ia dikuasai oleh mereka yang tidak mengangkat identiti dan norma masyarakat bersendikan Islam dan Melayu.
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA


