Ikhtiar terakhir buat yang memerlukan

“ Saya dah buntu, tak tau nak buat apa lagi”

“ Suami saya meracau-racau, menangis apabila melihat anak-anak.”

“Saya terpaksa berikan anak saya air beras bagi menggantikan susu”

Demikianlah keadaan rakyat marhaen yang kita temui didada-dada akhbar dan media sosial sejak akhir-akhir ini. Pelbagai rintihan dan keluh kesah daripada orang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid yang melanda di negara kita akibat kehilangan pekerjaan dan tiada sumber pendapatan.

Mari kita bermuhasabah sejenak. Bagaimana dengan keadaan jiran sekeliling kita? Sudahkah kita bertanya khabar? Sudah makankah mereka? Adakah mereka tidur dalam kekenyangan atau kelaparan?

Rasulullah SAW mengingatkan kita akan tanggungjawab kita sebagai manusia yang bermasyarakat,

“ Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya yang kelaparan.”

(Hadith Riwayat al- Tabarani, no. 12579)

Ya. Baginda menyatakan kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang beriman jika kita tidur dalam kekenyangan sedangkan jiran kita tidur dalam kelaparan. Baginda amat menitikberatkan tentang keperluan jiran dan mengajar kita agar prihatin kepada masyarakat sekeliling kita;

“Wahai Abu Dzar! Jika kamu masak sayur, perbanyakkanlah kuahnya dan perhatikanlah tetanggamu”.

(Hadith Riwayat Muslim, no 2625)

Kempen mengibarkan bendera putih yang dihebahkan baru-baru ini merupakan satu kempen yang kreatif dalam membantu masyarakat antara satu sama lain. Bendera putih barangkali ikhtiar terakhir buat yang memerlukan. Namun, jika ada jiran kita yang menaikkan bendera putih, ianya muhasabah buat kita. Ia satu seruan buat kita untuk mengambil berat dan prihatin dengan keperluan jiran kita.

Bantulah mereka semampunya. Hidupkan budaya untuk saling bantu-membantu. Mungkin kita belum kaya tetapi jadilah insan yang kaya jiwa dan menjadi insan yang terbaik dengan menyantuni jiran.

Semoga Allah mengampuni dosa kita semua dan memberikan kita kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.

Ya Allah, teguhkanlah iman kami dan jadikanlah kami hamba yang sentiasa bersyukur.

Nuraniza binti Abu

Setiausaha Biro Keluarga dan Masyarakat Cawangan ISMA Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat