AMMAN, 4 Oktober – Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat mengadakan pertemuan dengan Ketua Canseri, Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Muhd Irfan Zulkurnain, bagi mengeratkan hubungan serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara ISMA dan Kedutaan Besar Malaysia di Jordan.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Pengerusi ISMA Jordan, Ustaz Ahmad Muaz Muhammad Nazri.
Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha bersama dalam memperkasa mahasiswa Malaysia di Jordan, khususnya melalui penguasaan ilmu serta pembangunan pelbagai kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran selepas tamat pengajian, termasuk ketika memasuki alam kerjaya dan kehidupan bermasyarakat di tanah air.
Perbincangan turut menyentuh perkembangan geopolitik semasa dunia, khususnya perkembangan di rantau Timur Tengah yang mempunyai kaitan rapat dengan Malaysia dan dunia Islam.
ISMA merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Amman atas pertemuan mesra tersebut serta kesudian bertukar pandangan dan buah fikiran.
Pertemuan itu diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan antara ISMA dan Kedutaan Besar Malaysia di Jordan, selain membuka ruang kerjasama yang lebih tersusun demi kepentingan mahasiswa Malaysia serta memperluas sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara.


