Isma dan Ngo Islam Serah Memorandum Pencerobohan Tanah di Pahang

Alhamdulillah, hari ini saya dan rakan-rakan dari pelbagai NGO termasuk veteran-veteran tentera hadir ke Wisma Sri Pahang untuk menyerahkan memorandum bantahan rakyat terhadap isu pencerobohan tanah di serata Pahang.

Apa yang membuatkan kami terkilan adalah ada ‘sekatan-sekatan’ yang perlu kami lalui sebelum dapat masuk ke dalam pintu pagar sekalipun.

Rupa-rupanya saya difahamkan ada mulut-mulut jahat yang memainkan naratif yang kami hadir untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pahang dengan isu tanah ini. Mungkin sebab itu juga Menteri Besar tidak sudi berjumpa dengan kita pada saat akhir walaupun memang beliau sudah maklum akan rombongan kami.

Naratif ini adalah naratif yang tidak cerdik kerana sejak bilakah berpihak kepada rakyat dan menentang penceroboh tanah kerajaan itu dianggap sebagai penentang kerajaan?

Lagipun, tidakkah ‘orang-orang politik’ Melayu Pahang ini sedar yang NGO-NGO seperti kamilah yang antara yang mula-mula berusaha menyatukan kalian atas nama ‘perpaduan ummah’ dahulu di siri-siri himpunan kebangkitan rakyat, di mana saya sendiri adalah pengerusi bagi himpunan raksasa bantah ICERD dahulu?

Lagi pun, jika pihak kerajaan atau Menteri Besar sendiri turun sebagai tanda sokongan terhadap kehendak rakyat ini, pasti akan memberikan imej yang baik dan sebagai sokongan moral kepada rakyat menandakan bahawa kerajaan tidak akan tunduk pada kapitalis-kapitalis ini.

Apa pun, seperti yang saya perkatakan sebelum ini, serahan memorandum ini hanyalah langkah pertama. Jika tidak berjaya, nantikan sahaja langkah kedua, ketiga, keempat, kelima dan seterusnya.

Buat pengetahuan anda, hari ini juga kami telah menyerahkan memorandum yang sama kepada Jabatan Perhutanan Pahang dan SPRM Pahang. Alhamdulillah, sambutan dari pihak mereka adalah baik.

Sebagai anak jati Temerloh, saya berhak bersuara untuk masa depan negeri dan anak bangsa yang tercinta. Bukan orang luar pun.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
18 November 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat