BANGI, 8 Oktober- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), menerima kunjungan hormat delegasi Adhaalath Party dari Maldives bagi yang membincangkan pembangunan masyarakat, pengukuhan institusi ummah serta potensi kerjasama antara kedua-dua organisasi.
Delegasi Adhaalath Party diketuai Presiden parti berkenaan, Mohamed Shifaan, bersama Timbalan Presiden, Abdullah Rasheed yang bertemu Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat di Ibu Pejabat ISMA pagi tadi.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh ukhuwah itu menjadi medan pertukaran pandangan, idea serta pengalaman berkaitan cabaran yang dihadapi umat Islam dalam konteks semasa.
Antara perkara yang turut dibincangkan ialah potensi kerjasama dalam bidang sosial dan pengukuhan ilmu syariah, termasuk perkongsian kepakaran, pengalaman serta inisiatif yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat di Malaysia dan Maldives.
Pertemuan berkenaan turut dilihat sebagai usaha memperluas jaringan kerjasama antara gerakan dan organisasi umat Islam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam memperkukuh masyarakat dan institusi ummah.
Turut menyertai pertemuan tersebut ialah Ustaz Salman al-Farisi Selamat, Perunding Kanan Antarabangsa dan Budaya ISMA.
ISMA berharap pertemuan itu menjadi langkah awal ke arah kerjasama yang lebih erat bersama Adhaalath Party, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara umat Islam serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih baik di kedua-dua negara.


