ISU KALIMAH ALLAH 2.0 : Gabungan Pertubuhan Islam Negeri Johor Serah Memorandum Sokongan Kepada Mufti Johor

Oleh Mohd Khairul Ahmad Nordin

JOHOR BAHRU , 29 Mac – Gabungan Pertubuhan- Pertubuhan Islam Negeri Johor hari ini telah menyerahkan memorandum sokongan kepada Majlis Agama Islam Johor berkenaan isu kalimah Allah 2.0.

Memorandum itu diserahkan oleh Tuan Haji Mohd Tahir Bin Hamdan, Wakil PEMBELA Negeri Johor merangkap Ketua Perhubungan Isma Negeri Johor kepada Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Hj Yahya Bin Hj Ahmad, Mufti Negeri Johor yang juga turut diiringi oleh Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Hj Ahmad Faisal Bin Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor.

Penyerahan memorandum kepada Majlis Agama Islam Negeri diadakan secara serentak pada hari ini merupakan inisiatif daripada Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam(PEMBELA) yang ingin mendesak supaya isu kalimah Allah ini mendapat sokongan meluas umat islam dan akhirnya akan memberi mesej kepada pihak mahkamah bagi prosiding rayuan yang akan dijalankan kelak.

Isu kalimah Allah kembali panas berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama bukan islam dalam kes Jill Ireland melawan Kementerian Dalam Negeri(KDN).

Memorandum sokongan itu merupakan sokongan penuh kepada titah DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan dan ditegah sesuai dengan Fatwa Negeri Johor bertarikh 4 Jun 2009.

Sesi serahan memorandum itu turut dihadiri oleh 11 pertubuhan bukan kerajaan(ngo) yang menyatakan sokongan antaranya Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Malaysia(I-Medik) Negeri Johor, Aman Palestin Johor, Majlis Belia Negeri Johor, Pertubuhan Si’rah Malaysia Negeri Johor, Pertubuhan Panji Iman Semalaysia, Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) Negeri Johor, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah Negeri Johor dan lain-lain.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat