Kuala Lumpur ialah nadi pemodenan dan simbol ketamadunan ummah di bumi Malaysia. Namun keberkatan dan martabatnya kini tergugat oleh hakisan moral serta normalisasi maksiat secara terbuka pada hari ini. Antaranya penganjuran acara pementasan fesyen seperti Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) yang mempertontonkan aksi terkinja-kinja, gaya luar tabie, dan budaya hedonisme yang membelakangkan syariat serta fitrah manusia. Ini bukan sekadar soal cita rasa, tetapi ancaman kepada roh sesebuah kota yang pada asalnya dibina atas semangat keagamaan.
Kuala Lumpur diasaskan dan dibanggakan sebagai pusat peradaban Islam yang makmur, di mana kemajuan fizikal sepatutnya berjalan seiring dengan keberkatan dan ketakwaan. Keberuntungan tanah Malaysia bukan terletak pada ketinggian pencakar langitnya semata-mata, tetapi pada kemampuannya memimpin sebuah ibu negara yang bertamadun sambil memelihara identiti agama.
Apabila sesebuah kota memakmurkan syiar Islam dan menjaga batas keimanan, Allah SWT menjanjikan limpahan rahmat dan keamanan; sebaliknya, kemajuan material yang dibiarkan kosong tanpa tiang agama hanya akan melahirkan sebuah kota kaya yang kehilangan jiwanya. Firman Allah SWT :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Maksudnya: “Dan sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
(Surah al-A’raf 7:96)
Konsep ini lebih jelas lagi digambarkan melalui kisah kaum Saba’, sebuah tamadun yang dikurniakan kekayaan dan kemakmuran, lalu diperintahkan bersyukur agar layak digelar (baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur) negeri yang baik lagi diberkati, di bawah naungan Tuhan Yang Maha Pengampun.
Inilah acuan ideal sebuah bandar raya menurut pandangan Islam: bukan sekadar maju dari segi ekonomi dan seni bina, tetapi “baik” (tayyibah) kerana penduduknya taat dan bersyukur, lantas layak menerima keampunan serta perlindungan Ilahi yang berterusan. Firman Allah SWT :
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِى مَسْكَنِهِمْ ءَايَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا۟ مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada satu tanda (kekuasaan Allah) di tempat kediaman mereka, iaitu dua kumpulan kebun di sebelah kanan dan kiri. (Dikatakan kepada mereka): ‘Makanlah dari rezeki Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan subur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.'”
(Surah Saba’ 34:15)
Namun keberkatan seperti ini bukan jaminan kekal tanpa syarat. Tetapi, terikat kepada rasa syukur dan ketaatan yang berterusan. Apabila sesebuah bandar mula dihiasi kemewahan tetapi lalai mensyukuri serta memelihara batas syariat, ia berisiko mengalami nasib seperti yang diperingatkan Allah SWT terhadap sebuah negeri yang pada mulanya aman dan mewah, namun akhirnya ditarik nikmatnya akibat keingkaran penduduknya sendiri. Firman Allah SWT :
وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ ءَامِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَاقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلْجُوعِ وَٱلْخَوْفِ بِمَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya dengan melimpah ruah dari segenap penjuru, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah, maka Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang selalu mereka lakukan.”
(Surah an-Nahl 16:112)
Bertitik tolak daripada prinsip ini, normalisasi budaya luar tabie, pameran aurat secara melampau, dan perlakuan terkinja-kinja dalam acara awam seperti kontroversi KLFW merupakan pencabulan terhadap fitrah insani dan nilai adat budaya tempatan.
Fesyen dan kesenian sepatutnya mengangkat kemuliaan akhlak dan estetika yang bersopan, bukan menjadi pentas mengagungkan kebebasan tanpa batasan.
Penganjuran yang menampilkan penyerupaan jantina berlawanan, aksi keanak-anakan yang melampau, serta penampakan maksiat secara terang-terangan di tengah-tengah ibu kota bukan sahaja merosakkan jati diri bangsa, malah secara halus menyuntik normalisasi dosa ke dalam minda generasi muda. Sabda Rasulullah SAW :
لَعَنَ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Allah melaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita dan kaum wanita yang menyerupai lelaki.”
(Riwayat al-Bukhari)
Firman Allah SWT :
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka melihat perkara keji tersebar dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.”
(Surah an-Nur 24:19)
Natijahnya, kerosakan moral dan penormalan maksiat yang dibiarkan berleluasa secara terbuka di Kuala Lumpur mengundang risiko kemurkaan Ilahi yang memberi kesan secara kolektif.
Maksiat yang dilakukan secara bersendirian adalah dosa peribadi, tetapi maksiat yang dipertontonkan, dirayakan, dan diangkat sebagai norma kemodenan di peringkat nasional menjadi kemungkaran awam.
Sekiranya masyarakat dan pihak berkuasa bersikap apati serta tidak melaksanakan kewajiban amar makruf nahi mungkar, kerosakan itu tidak hanya menimpa pelaku maksiat, malah turut menjejaskan ketenteraman dan keberkatan seluruh kota. Sama seperti nasib negeri yang disebutkan tadi, yang kehilangan nikmat aman dan rezekinya akibat keingkaran kolektif.
وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةً ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan peliharalah diri kamu daripada bala bencana yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim dalam kalangan kamu secara khusus, dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.”
(Surah al-Anfal 8:25)
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, dengan lidahnya; jika tidak mampu, dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”
(Riwayat Muslim)
Kuala Lumpur wajib kekal sebagai nadi denyut ummah yang gagah, maju, dan berprinsip. Kemodenan yang sejati tidak memerlukan penyerahan bulat-bulat kepada budaya hedonisme atau tingkah laku luar tabie yang merosakkan.
Demi memelihara status Malaysia sebagai bumi bertuah, semua pihak termasuk dari pembuat dasar, penganjur acara, hinggalah masyarakat awam wajib dan perlu tegas menetapkan garis panduan moral dan syariat.
Hanya dengan mengembalikan peradaban yang berteraskan akhlak, Kuala Lumpur dapat terus bersinar sebagai kota yang gemilang di mata dunia, layak digelar (baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur) dan diberkati di sisi Allah SWT.
Mohamad Anwar Shahir Bin Abdul Shukor
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA)

