Jenayah Seksual di Kalangan Kanak-Kanak: Semua Pihak Perlu Main Peranan

Satu tinjauan global (Disrupting Harm in Malaysia) mendapati sekitar 4% kanak-kanak berusia 12-17 tahun di Malaysia yang menggunakan internet telah mengalami penderaan dan eksploitasi seksual dalam talian (OCSEA-online sexual exploitation and abuse) dalam tahun 2021-2022. Tinjauan tersebut juga melaporkan lebih kurang 100,000 kanak-kanak berkemungkinan telah pun mendapat kesan buruk akibat aktiviti ini dalam tempoh setahun belakangan ini.

Pendedahan kepada gajet di usia yang muda, akses kepada sosial media tanpa batasan, serta kurangnya pemantauan daripada ibu bapa menjadi penyumbang utama kepada masalah ini. Usia kanak-kanak yang masih naif menyebabkan privasi mereka mudah diceroboh dan menjadi mangsa pemerasan untuk terlibat dalam aktiviti seksual, berkongsi imej seksual tanpa kebenaran dan dipaksa agar terlibat dengan dijanjikan wang dan hadiah. Paling membimbangkan lagi, ada dari kalangan kanak-kanak sendiri yang menjadi pemangsa.

Langkah-langkah pencegahan yang proaktif dan komprehensif sangat kritikal untuk diambil agar fenomena yang amat membimbangkan sebegini dapat dikekang sebelum ianya semakin membarah dalam masyarakat.

Ibu bapa bertanggungjawab memberikan pendidikan agama, membentuk jati diri anak-anak, mendisiplin, membimbing dan memantau aktiviti anak-anak agar mereka dapat memahami pentingnya menjaga kesucian diri dan menghormati batas-batas yang telah ditetapkan. Aspek mendisiplinkan anak adalah satu tanggungjawab besar dan penting yang diberikan kepada ibu bapa di dalam Islam sepertimana Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Tahrim, ayat 6 maksudnya; “Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka.”

Dalam keadaan dunia sekeliling yang terlalu banyak stimulasi hiperseksual, pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif sudah menjadi keperluan buat kanak-kanak di Malaysia. Kanak-kanak perlu diperkasakan dengan pengetahuan yang betul tentang ilmu seksualiti dan reproduktif, mengetahui ancaman-ancaman yang boleh dihadapi oleh mereka serta cara-cara mengatasinya. Oleh kerana itu, ISMA sebagai sebuah NGO dakwah berusaha menyampaikan pendidikan ini kepada kanak-kanak melalui Kelab Anak-Anak Hebat NAZIM Malaysia (NAZIM) dengan menggunakan Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert!) garapan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

Sebenarnya untuk mengatasi masalah ini tidak hanya terletak pada bahu ibu bapa, guru atau pihak-pihak tertentu sahaja. Ia memerlukan bantuan dan penyertaan aktif seluruh komuniti. Mengambil ungkapan peribahasa Afrika, “It’s take a village to raise a person”, di mana setiap individu dalam komuniti turut bertanggungjawab terhadap kemenjadian seorang kanak-kanak. Tidak cukup kita dan keluarga kita sahaja yang menjadi baik, tetapi masyarakat di luar sana tidak terjaga, akhirnya kita juga akan menerima tempias akibat buruknya. Komuniti yang unggul dan bersatu hati, saling mengambil berat, nasihat-menasihati dapat memelihara kerosakan dalam masyarakat dan memelihara kesejahteraan kanak-kanak sebagai  generasi pewaris masa depan.

Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA
Penggubal Modul ReproAlert! 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat