Kebun di Raub penjarahan tanah secara terancang

Pendedahan mengenai pencerobohan tanah kerajaan secara haram hampir 4400 Hektar di Raub baru-baru ini merupakan siri-siri penjarahan tanah yang sedang berlaku secara terancang dan tersusun. Dengan kata lain, ini merupakan bentuk penjajahan di era baru yang sedang berlaku di negara kita.

Bagi kita bangsa Melayu dan beragama Islam merupakan tuan tanah kepada negara ini seharusnya berasa terancam dengan apa yang berlaku.

Hak keistimewaan yang telah diberikan kepada kita sebagai tuan tanah semakin hari semakin terhakis. Tanah rezab Melayu di Kuala Lumpur hanya tinggal 12% dan di Pulau Pinag sudah 0%. Begitu juga di negeri-negeri lain menunjukkan tanah rezab Melayu semakin berkurangan. Cuba bayangkan 50 tahun akan datang, apa yang akan berlaku kepada tanah air kita.

Sebagaimana yang difahami, tanah merupakan salah satu rukun kepada pembinaan sebuah negara. Jika sekiranya tanah yang dipijak ini dijarah secara rakus dan sudah menjadi milik orang, maka sedarlah kita bahawa kita sedang dijajah dan negara kita bakal lenyap daripada peta dunia.

Jika sekiranya kita tidak sedar dan tidak buat sesuatu, maka tidak mustahil apa yang berlaku kepada negara jiran kita Singapura akan berlaku kepada negara kita suatu hari nanti. Tanah yang asalnya milik kita tetapi hari ini sudah menjadi milik bangsa asing.

Begitu juga apa yang berlaku di negara Palestin hari ini, sebuah negara yang berdaulat tetapi hari ini sudah lenyap daripada peta dunia. Penjarahan tanah yang dilakukan oleh Yahudi secara terancang dan tersusun sehingga mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan tanah dan membentuk sebuah negara baru iaitu Israel di bumi Palestin.

Kita mengharapkan kerajaan Malaysia dan khususnya kerajaan Negeri Pahang bertegas dalam isu ini, jangan sesekali berkompromi dengan desakan mereka melalui NGO dan parti politik untuk menghalalkan pencerobohan mereka ini. Jika sekiranya kerajaan mengalah dengan desakan mereka, percayalah akan berlaku banyak lagi siri-siri tuntukan dan desakan selepas ini. Tidak mustahil slogan yang sentiasa dilaungkan selama ini Malaysia Tanah Airku akan menjadi Malaysia Tanah Air Milik Orang.

 

Muhammad Sabri bin Muda
NYDP ISMA Kuantan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat