KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Program Konvoi Jejak Warisan 2026 anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berlangsung dengan lancar pada 26 September lalui, menghimpunkan lebih 60 peserta dalam usaha mendekatkan generasi muda dengan sejarah, warisan dan pembentukan Kuala Lumpur.
Mengangkat tema “KL Nadi Peradaban Ummah”, program ini dimulakan dengan sesi taklimat dan pengisian di Masjid Kampung Baru sebelum peserta meneruskan perjalanan menelusuri beberapa lokasi bersejarah di sekitar Kuala Lumpur.
Antara pengisian utama ialah lawatan ke Malay Agriculture Settlement (MAS) yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah penempatan dan peranan masyarakat Melayu dalam perkembangan awal Kuala Lumpur. Program kemudiannya diteruskan dengan lawatan ke Masjid Jamek Sultan Abdul Samad serta Muzium Negara.
Setiap lokasi menjadi ruang kepada peserta untuk memahami bahawa Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah kota moden dan pusat pentadbiran negara, sebaliknya mempunyai sejarah panjang yang turut dibentuk oleh masyarakat Melayu, tokoh, institusi agama dan komuniti setempat.
Pendekatan berasaskan pengalaman ini selari dengan objektif Jejak Warisan untuk meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap sejarah Kuala Lumpur, menghargai warisan serta mengenali akar pembentukan masyarakat dan negara.
Program turut disusuli dengan sesi Sembang Santai “KL Nadi Peradaban Ummah” sebelum peserta melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sekitar Chow Kit.
Walaupun aktiviti CSR pada sebelah petang sedikit terjejas akibat hujan, ia tetap dapat dilaksanakan secara ringkas dan teratur. Sebanyak 40 pek makanan asas telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan, selain sumbangan 60 pek cenderahati kepada kanak-kanak daripada keluarga asnaf.
Aktiviti tersebut menjadi penutup yang melengkapkan pengisian Jejak Warisan dengan membawa peserta bukan sahaja memahami sejarah dan warisan, tetapi turut menerjemahkan nilai kemasyarakatan melalui tindakan dan khidmat kepada komuniti.
Secara keseluruhannya, Konvoi Jejak Warisan 2026 berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang dengan gabungan pengisian sejarah, aktiviti santai dan elemen khidmat masyarakat.
Menurut Ketua Pemuda ISMA, Ustaz Muhammad Shahier Sa’min, mengharapkan program seumpama ini dapat menjadi salah satu platform berterusan untuk membina generasi muda yang mengenali sejarah, menghargai warisan serta mempunyai kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“KL Nadi Peradaban Ummah” bukan sekadar tentang mengenang sejarah, tetapi memahami akar pembentukan masyarakat dan menjadikannya asas untuk membina masa hadapan,” katanya setelah selesai program.


