Arus LGBT bukan isu baharu tetapi mula meletup sejak 2018. Wujud kumpulan Facebook dan komuniti maya yang agak signifikan menggunakan akaun kelabu untuk menyertai kumpulan ini.
NGO Islam seperti ISMA tampil menentang gerakan ini. Tetapi kumpulan ini mendapat sokongan kuat daripada kumpulan Hak Asasi Manusia (HAM) dan ahli politik pro HAM. Mereka mula berani tampilkan diri dan rekrut ahli baru. Gerakan ini mula tampil dengan lambang pelangi, lambang suci yang ‘dinajiskan’ oleh mereka. Malah, makin ramai yang berani tukar gambar media sosial sebagai tanda sokongan kononnya golongan minoriti yang didiskriminasi oleh majoriti.
Ideologi mereka laungkan tetapi aktiviti mereka buat secara senyap. Susah untuk dikesan dan diambil tindakan. Tapi pengaruh mereka semakin meluas dan bilangan semakin bertambah.
Hari ini kita terkejut dengan serbuan terhadap kegiatan aktiviti songsang di sebuah ‘pusat kesihatan’. Lebih mengejutkan, 17 daripadanya penjawat awam adalah dalam kalangan doktor bedah, doktor, cikgu dan PTD. Menyedihkan lagi, golongan profesional yang mendidik anak-anak di sekolah, merawat pesakit-pesakit di hospital turut terlibat gejala tidak bermoral ini. Apa kesan mereka terhadap anak-anak didik, pesakit dan pekerja mereka?
Malangnya, penyumbang utama kes HIV bukan disebabkan dadah tetapi 95% adalah adalah daripada golongan yang mengamalkan cara hidup songsang. Kesan peningkatan golongan LGBT. Akibatnya, anak dan isteri menjadi mangsa dijangkiti HIV.
Selain itu, aktiviti LGBT telah dikomersialkan, jadi perniagaan yang dikunjungi orang luar negara. Siapa ‘taikun’ yang paling untung buat perniagaan ini?
Manakala, Selangor adalah negeri tertinggi aktiviti LGBT. Sepatutnya negeri maju dan terkaya di Malaysia, rakyatnya makin bertamadun dan berakhlak mulia. Apa guna pembangunan hebat kalau manusianya rosak. Kekayaan pula habis diguna untuk kos merawat pesakit-pesakit ini. Ini adalah maklumat yang terdedah kepada umum, berapa banyak lagi aktiviti ini yang masih bergerak secara senyap. Amat risau.
Kerisauan kita berasas. Aktiviti ini bukan hanya melibatkan pelaku sahaja tetapi merosakkan struktur sosial ummah. Bayangkan seorang bapa terlibat, kesannya kepada anak dan isteri, keluarga goyah. Bayangkan fenomena ini merebak ke tahap pemimpin maka digunakan untuk ‘bargaining power’. Kebejatan ini perlukan semua pihak untuk cakna dan ambik tindakan, bermula dari rumah, ibu bapa main peranan. Di sekolah cikgu dan kementerian pendidikan, sehingga peringkat pimpinan masyarakat, NGO, penguatkuasa dan pimpinan negara perlu melaksanakan intervensi program bebas LGBT.
Jika tidak ia akan jadi bom jangka. Bila meletup merosakkan struktur sosial ummah.
Ustaz Ibrahim M Hasan
YDP ISMA Cawangan Sepang


