Menyatupadukan Komuniti Melalui Sukan Rakyat Sempena Sambutan Hari Kebangsaan.

SANDAKAN, 31 Ogos- Buat julung kalinya telah berlangsung Karnival Sukan Rakyat anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Sandakan bersama rakan strategik, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan yang menghimpunkan beberapa komuniti masyarakat dengan penyertaan yang dihadiri hampir 300 peserta di pelbagai peringkat umur.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67, program bertemakan Melayu tradisional ini dijalankan bagi menyatupadukan komuniti setempat, mengajak masyarakat menghayati dan mengangkat identiti kebangsaan berteraskan Melayu dan Islam.

Karnival Sukan Rakyat ini juga turut dimeriahkan dengan penglibatan komuniti mawar, Sekolah Menengah Agama Tun Juhar, Tabika KEMAS Taman Sri Labuk, KRT PPR Sibuga, penduduk Kg. Gas, Anjung Kisaei Kg Cenderamata, Pondok Darul Izzah Kg Bahagia dan Amanah Ikhtiar Malaysia cawangan Sandakan.


Program dirasmikan oleh Pengarah Institut Latihan Perindustrian Sandakan, Tuan Haji Azmi Rahman bin Mat Zuini. Beliau mengucapkan terima kasih kepada ISMA Sandakan atas penganjuran program Karnival Sukan Rakyat ini, yang mana sukan rakyatlah yang sebenarnya boleh menyatukan masyarakat pelbagai lapisan masyarakat berbanding sukan lasak.

Selain daripada sukan rakyat, program ini juga turut menyediakan tazkirah ringkas membincangkan berkenaan nilai kemerdekaan sebenar yang disampaikan oleh, Yang Dipertua ISMA Sandakan, Ustaz Muhammad Nur bin Selamit.

“Kemerdekaan di sisi Islam itu sebenarnya adalah membebaskan manusia daripada perhambaan kepada manusia atau material, kepada menyembah Allah SWT yang Maha Esa,” katanya.

Pengarah Program Karnival Sukan Rakyat Merdeka 2024, Sitti Zaleha bt Jainy mengucapkan terima kasih kepada rakan strategik ILP, dan semua agensi, komuniti yang terlibat atas kerjasama padu dan sokongan yang diberikan untuk menjayakan program ini.

“Alhamdulillah program berakhir dengan jayanya. Semoga bersempena dengan bulan kemerdekaan tahun 2024 ini, kita dapat menghayati dan memupuk nilai kemerdekaan yang sebenar,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat