Parti Melayu takut buka mulut tentang sekolah vernakular

Apalah nak jadi dengan kuasa wewenang (bargaining power) orang-orang pribumi sekarang.

Apabila kita ada parti Melayu dan parti Islam yang kita harap-harapkan sebelum ini, selepas menjadi kerajaan pun akhirnya tidak berani buka mulut nyatakan pendirian terhadap sekolah venakular, apatahlagi parti Melayu Islam apologetik. Lagilah tidak boleh diharap.

Apabila tubuhnya sebuah parti pribumi baharu, yang berjaya menerajui kerajaan akhirnya pula menjadi tempang apabila mula menerima masuk keahlian bukan pribumi. Baru sahaja masuk parti, sudah berani bidas sini sana yang akhirnya menyebabkan parti itu tidak berani mengeluarkan pendirian rasmi. Lihat sahaja gelagat mereka dalam isu ini.

Kenyataan YB Santhara, juga ahli bukan pribumi pertama BERSATU yang membidas Ketua Pemudanya yang lantang mahu kerajaan mansuhkan sekolah vernakular telah membuktikan parti itu akan menghadapi pelbagai dilema dalaman apabila tiba soal perjuangan Melayu, Bumiputera dan Islam kelak.

Pastinya kenyataan YB Santhara ini telah membuka ‘floodgate’ untuk ahli-ahli bukan pribumi lain yang bakal masuk nanti untuk membidas dan menuntut-nuntut dari dalam parti.

Maka, tinggallah parti-parti Melayu yang tidak ada wakil dalam parlimen seperti BERJASA dan PUTRA yang secara rasminya kekal dengan pendirian rasmi parti untuk mendesak kerajaan memansuhkan sekolah vernakular. Ditambah lagi dengan suara-suara NGO Melayu yang kuat tetapi terabai kerana rasa selesa “mereka pasti tak akan undi PH”.

Akar umbi parti-parti Melayu juga pun nampaknya terpaksa akur dengan pendirian parti masing-masing walaupun ramai yang mahu sistem sekolah satu aliran. Hakikat ini sangatlah malang bagi kita, sebagai sebuah bangsa yang sepatutnya berdaulat di atas tanah airnya.

Kita punyai asas yang kuat untuk memansuhkan sekolah vernakular di mana itulah aspirasi Perlembagaan Persekutuan, Penyata Razak 1956, Akta Pendidikan 1961 dan sebagainya yang mahukan satu sistem pendidikan kebangsaan. Ditambah lagi dengan pemansuhan sekolah aliran Melayu satu ketika dahulu bagi meraikan semua kaum atas semangat integrasi nasional, pasti sangat mengecewakan kita apabila melihat gelagat pemimpin kita sekarang.

Nampaknya perjuangan sekolah satu aliran ini tidak akan selesai selagimana pemimpin-pemimpin kita tidak tegas dengan agenda ini dan hanya mementingkan perkiraan politik yang tidak pernah cukup.

Selepas menang, katanya tidak ada majoriti besar. Apabila kerusi sudah ada majoriti besar, kata pula perlu majoriti yang lebih besar. Tidak pernah cukup, padahal pada masa yang sama banyak yang tergadai dan terkompromi.

Ini bukan ‘perpaduan ummah’ yang kita impi-impikan dahulu. Tolonglah buka mata.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
1 September 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat