Kami mengambil maklum pengumuman penubuhan “Board of Peace” oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dikemukakan sebagai satu inisiatif untuk mempromosi keamanan, membangunkan semula dan mengembalikan kestabilan di Wilayah Gaza, Palestin.
Sebagai komuniti umat Islam yang berakar kukuh di Asia Tenggara, rantau yang dihuni lebih 250 juta Muslim, kami melihat perkembangan ini bukan sekadar isu diplomatik antarabangsa, tetapi sebagai satu langkah geopolitik yang membawa implikasi langsung terhadap kedaulatan, hala tuju strategik dan hak menentukan masa depan negara-negara umat Islam.
Prinsip Teras 1: Kesatuan Umat Islam Adalah Garis Pertahanan Pertama
Kami menegaskan bahawa dalam menghadapi sebarang inisiatif antarabangsa termasuk “Board of Peace”, kekuatan utama umat Islam bukan sekadar diplomasi negara, tetapi kesatuan strategik ummah.
Asia Tenggara menempatkan populasi Muslim terbesar dunia melalui negara seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei. Kesatuan suara dan pendirian bersama bukan lagi sebagai pilihan, sebaliknya ia adalah satu keperluan strategik yang penting.
Sebarang pendekatan yang memecah-belahkan pendirian negara umat Islam hanya akan melemahkan posisi tawar menawar (bargaining power) kita di pentas global.
Prinsip Teras 2: Keamanan Berteraskan Keadilan dan Kedaulatan
Kami juga ingin menegaskan bahawa sebarang inisiatif keamanan yang digerakkan oleh mana-mana kuasa besar tanpa mandat kolektif dan tanpa kejelasan pendirian dan sikap bertanggungajwab terhadap isu-isu keadilan global berisiko menjadi instrumen dominasi geopolitik dan bukan jalan penyelesaian sebenar.
Beberapa penegasan penting bahawa:
- Keamanan hakiki tidak boleh dipisahkan daripada prinsip keadilan.
- Sebarang inisiatif antarabangsa mesti menghormati prinsip kedaulatan negara.
- Menolak inisiatif atas nama keamanan yang tidak mengiktiraf hak berdaulat rakyat Palestin sepenuhnya, termasuk hak menentukan nasib masa depan mereka sendiri.
- Tidak menerima sebarang formula yang mengukuhkan status quo pendudukan atau normalisasi regim penjajah tanpa penyelesaian isu asas di Palestin (pemilikan tanah, sempadan, Baitulmaqdis, pelarian).
Realiti Geopolitik: Kuasa dan Kepentingan
Sejarah menunjukkan bahawa kuasa besar sering menjenamakan kepentingan strategik mereka dengan naratif keamanan. Dalam konteks pengalaman dunia Islam, pendekatan sedemikian sering:
- Menginstitusikan status quo yang menindas pihak yang lemah.
- Meminggirkan hak kedaulatan dan aspirasi ummah.
- Menekan negara-negara kecil agar akur kepada blok kuasa tertentu.
Sekiranya “Board of Peace” tidak secara jelas menangani ketidakadilan struktural khususnya isu Palestin, maka ia tidak lebih daripada mekanisme pengurusan konflik yang mengekalkan ketidakseimbangan kuasa sedia ada.
Seruan Kepada Kepimpinan Umat Islam
Kami menyeru :
- Kerajaan-kerajaan umat Islam agar tidak memberikan sokongan simbolik tanpa penelitian strategik menyeluruh.
- Platform serantau seperti ASEAN dan dunia Islam seperti OIC mengambil pendirian kolektif yang jelas dan berprinsip.
- Pengukuhan kuasa nasional; politik, pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi, pertahanan, sumber alam dan naratif budaya sebagai benteng ummah daripada manipulasi geopolitik.
- Membina naratif keamanan berteraskan nilai Islam: Kebenaran, Keadilan, dan Tanggungjawab.
Penutup
Kami menyambut baik sebarang usaha ke arah keamanan global. Namun, keamanan yang tidak berpaksikan keadilan dan kedaulatan hanya akan mencipta ketidakseimbangan baharu.
Umat Islam di Asia Tenggara bukan sekadar pemerhati dalam percaturan global. Dengan kekuatan dan aset demografi, ekonomi , sumber alam dan sejarah peradaban, rantau ini harus tampil sebagai aktor strategik yang memelihara kepentingan nasional sambil mempertahankan aspirasi dan cita-cita ummah secara bermaruah dan berprinsip.
Ustaz Salman Al-Farisi bin Selamat
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa dan Budaya ISMA
4 Ramadan 1447 bersamaan 22 Februari 2026


