Apabila berbicara tentang institusi keluarga, peranan ibu sering menjadi fokus utama. Namun, jarang kita benar-benar meneliti betapa besar dan pentingnya peranan seorang bapa. Hakikatnya, bapa bukan sekadar individu dalam keluarga, tetapi sebuah fungsi kepimpinan yang menentukan hala tuju dan kesejahteraan rumah tangga.
Anak-anak membesar dengan memerhati dan meniru ayah mereka. Perwatakan, sikap dan cara hidup seorang ayah sering menjadi contoh utama dalam pembentukan sahsiah anak. Jika baik perwatakan ayah, maka baiklah ikutan anak-anak. Sebaliknya, jika buruk, maka buruklah contoh yang tertanam. Mana mungkin seorang ayah melarang anaknya daripada merokok sedangkan dia sendiri seorang perokok. Justeru, seorang ayah perlu sentiasa menunjukkan tauladan terbaik, khususnya apabila bersama anak-anak.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.”
(Hadith Riwayat Muslim)
Peranan ayah boleh diibaratkan seperti nahkoda sebuah kapal. Dialah yang menentukan arah pelayaran, memilih kompas dan memastikan kapal sampai ke destinasi dengan selamat. Jika arah salah, maka sesatlah perjalanan keluarga tersebut.
Terdapat tiga peranan utama yang wajib dilaksanakan oleh seorang ayah.
Pertama, menentukan halatuju keluarga. Bapa bertanggungjawab menetapkan visi dan perancangan kehidupan keluarga, membuat keputusan penting serta memastikan keseimbangan dunia dan akhirat menjadi asas pembinaan rumah tangga.
Kedua, tarbiyah isteri dan anak-anak. Memberi pendidikan agama adalah kewajipan seorang suami dan bapa. Anak-anak berhak menerima didikan fardu ain sejak kecil, dengan pendekatan hikmah dan teladan. Dalam dunia yang berubah pantas hari ini, bapa juga perlu sentiasa menambah ilmu agar mampu membimbing anak menghadapi cabaran semasa.
Ketiga, melindungi keluarga. Peranan ini bukan sekadar menyediakan keperluan material, tetapi menjadi tempat bergantung, memberi rasa selamat dan mengurus kewangan dengan bijak. Bapa juga perlu melindungi keluarga daripada pengaruh negatif dan menjadi tempat rujukan utama dalam setiap permasalahan.
Akhirnya, tugas paling besar seorang bapa ialah melindungi keluarga daripada azab api neraka, sebagaimana peringatan Allah dalam Surah At-Tahrim ayat 6.Kesimpulannya, tanggungjawab seorang bapa sangat besar. Kesedaran dan pelaksanaan peranan ini dengan sebaiknya adalah kunci kepada kestabilan keluarga dan seterusnya pembinaan ummah yang sejahtera.
Ustaz Ibrahim M Hasan
YDP ISMA Cawangan Sepang

