Perundangan Syariah: Ibarat Telur di Hujung Tanduk

Hujung minggu baru ini saya telah mewakili Ikatan Muslimin Malaysia untuk menghadiri satu perbincangan yang cukup penting dalam usaha memartabatkan sistem perundangan Syariah di negara kita yang tercinta ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya pihak penganjur dan para pembentang.

Walaupun kita semua sedia maklum bahawa identiti negara ini adalah berteraskan Islam (Islam agama Persekutuan), tetapi sistem perundangan Syariah dilihat seolah-olah menerima layanan yang berbeza (double standard). Skop perundangan Syariah yang terhad itu semakin hari semakin diasak sehingga hampir tidak cukup tanah untuk berpijak dan ianya cukup mengecewakan!

Umat Islam telah berdukacita dengan apa yang berlaku dalam kes Iki Putera Mubarak yang didakwa atas kesalahan meliwat (Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Selangor). Kuasa menggubal undang-undang Syariah di peringkat negeri telah diputuskan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan (unconstitutional).

Lanjutan daripada kes ini, seorang peguam yang kita tidak fahami motifnya; Nik Elin, telah mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan. Apabila diteliti senarai jenayah Syariah yang dicabar tersebut (rujuk gambar slaid), seorang muslim akan dibiarkan melakukan bermacam-macam perkara maksiat/haram tanpa ada sekatan undang-undang. Bayangkan apa nasib anak cucu kita sekiranya kes ini berpihak kepada Nik Elin?
Syariah/undang-undang Islam ini adalah sebahagian daripada isi kandung Al-Quran dan puak-puak sebelah sana tak pernah berhenti berusaha untuk meleraikan keterikatan umat Islam daripada Al-Quran!

Saya berdoa agar Allah swt memberikan kepada kekuatan kepada para peguam yang berhujah mempertahankan kedudukan Syariah di negara kita. Ayuh kita sama-sama mengambil cakna tentang isu ini dan turut sama memberikan kesedaran kepada kaum keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.

Ustaz Shahier Sa’min
Naib Presiden Dakwah ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat