Shah Alam, 1 September – Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Kota Raja telah menganjurkan Program Qiamullail Ukhwah dan Riadah (QUDWAH) yang mengumpulkan anak remaja sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning sempena cuti Hari Kemerdekaan yang lepas.
Program yang bermula pada Sabtu malam di isi dengan pengisian oleh ustaz Shukery Azizan yang menekankan pentingnya menjadi remaja yang hebat dan berkepimpinan supaya dapat menyumbang kepada agama dan negara.
Aktiviti yang diadakan di Pusat Komuniti ISMA Kota Raja ini juga terisi dengan sesi qiamullail berjemaah untuk melatih dan membina kekuatan spiritual para peserta seperti mana contoh dan ikutan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Program diteruskan pula pada keesokan paginya dengan sesi riadah para peserta di Lake Point Central, Alam Impian, bertujuan mencungkil dan mengembangkan potensi para peserta dalam sukan badminton. Aktiviti riadah ini juga bertujuan untuk memupuk para peserta supaya memiliki sifat mukmin yang kuat, tekun dan bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan dan tugasan yang diberikan.
Sesi tazkirah pendek berkenaan sifat mukmin yang kuat telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fidak selaku Ketua Biro Dakwah ISMA Kota Raja, sekaligus menjadi slot penutup untuk program tersebut.
Semoga program sebegini dapat menarik lebih ramai penyertaan di kalangan remaja pada masa akan datang dan mampu menjadi titik tolak untuk mempersiapkan diri menjadi pemimpin yang beriman, bertaqwa dan teguh mendirikan agama Islam di negara ini.