Pernahkah kita berhenti berfikir sejenak dan melihat ke dalam diri? Hari ini, kita sedang menyaksikan satu fenomena yang amat meruntun jiwa yang mana manusia semakin sibuk mengejar masa, namun jiwanya semakin lelah dan gelisah. Kita terbang tinggi dengan kemajuan teknologi, tetapi jauh tersungkur dalam mencari ketenangan rohani. Dunia kini telah pun diangkat menjadi watak utama, manakala akhirat sekadar pelengkap cerita.
Karier dikejar tanpa henti, harta dikumpul seolah-olah kita akan hidup selamanya, dan populariti dibina tanpa arah tujuan. Ironinya, ibadah sering tertangguh, helaian al-Quran hanya dibiarkan berdebu, dan saf masjid hanya padat pada musim-musim tertentu.
Walhal, Allah SWT telah menempelak realiti ini melalui Firman-Nya:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا
Maksudnya : Dan sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.
(Surah Taha 20 : 124).
Allah SWT telah memahat dengan jelas tujuan hakiki setiap hela nafas kita di muka bumi ini. Seperti Firman Allah SWT :
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya : Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.
(Surah al-Dhariyat 51: 56).
Ayat suci ini adalah teguran buat kita, bahawasanya ibadah itu adalah nadi dan kompas utama, bukanlah sekadar aktiviti persinggahan. Apabila segenap ruang hidup diisi dengan hiruk-pikuk dunia hingga melalaikan sujud kita kepada-Nya, di situlah bermulanya sebuah krisis orientasi jiwa yang benar-benar parah.
Allah SWT juga berfirman:
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِى كِتَٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ
Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram……
(Surah al-Tawbah 9 : 36).
Daripada hamparan dua belas bulan itu, Allah SWT memilih satu bulan yang diberkati serta dikurniakan kemuliaan luar biasa iaitu Ramadan. Pilihan ini sarat dengan hikmah kerana ini adalah satu seruan tahunan dari langit untuk memanggil manusia yang lalai pulang kepada fitrah penghambaannya.
Firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.
(Al-Baqarah 2:183).
Matlamat dan tujuan agung berpuasa adalah takwa. Sekiranya Ramadan tiba dan berlalu pergi tanpa berganjak sedikit pun orientasi hidup kita, ketahuilah bahawa roh ibadah itu belum benar-benar bernafas dalam jasad kita.
Lebih tegas lagi, Allah mengangkat bulan ini dengan turunnya sebuah manual kehidupan iaitu al-Quran. Firman Allah SWT :
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ
Maksudnya : Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.
(Al-Baqarah 2:185)
Apabila umat mula membelakangkan bukti dan petunjuk ini, maka dunia mula dijadikan kiblat, bukannya wahyu ilahi. Inilah puncak krisis umat hari ini, yang mana dunia berjaya mengalahkan akhirat di dalam hati sanubari kita.
Solusi dan ubat kepada penyakit salah arah ini hanyalah satu, iaitu meluruskan kembali haluan hidup bersandarkan panduan wahyu. Allah menitipkan pesanan buat hati-hati yang beriman :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Al-Hashr 59:18).
Ramadan adalah madrasah muhasabah dan evaluasi diri yang paling sempurna kerana puasa merantai hawa nafsu dan melatih kawalan diri. Manakala, qiamullail menyiram embun pada hati yang keras dan mati. Kemudian, sedekah mensucikan harta daripada karat-karat tamak haloba dan tilawah al-Quran menerangkan akal dan menghidupkan jiwa yang kelam.
Janji Rasulullah SAW sangat indah buat mereka yang merebut peluang ini:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.
(HR. Bukhari dan Muslim).
Sungguh, keampunan adalah titik mula sebuah penghijrahan. Lebih daripada itu, Ramadan mendidik semula sistem keutamaan hidup kita dan mengajar kita bahawa dunia ini hanyalah jambatan, bukannya destinasi.
Apabila siang kita mampu menahan lapar dan dahaga, bermakna diri sedang belajar bahawa nafsu bukanlah tuan yang harus sentiasa dituruti. Apabila malam kita teguh berdiri bertahajud, kita menyedari bahawa ketenangan sejati bukan terletak pada timbunan wang ringgit, tetapi pada intimnya hubungan kita dengan Sang Pencipta.
Ramadan secara hakikatnya adalah satu proses penyusunan semula yang memindahkan cinta dunia kepada cinta akan akhirat. Kemudian, mengejutkan diri dari lena kelalaian, dan menukar rutin hidup menjadi ibadah yang bernyawa.
Krisis kepincangan umat hari ini bukan sekadar krisis ekonomi, masalah sosial, atau kejatuhan moral semata-mata. Tetapi, krisis orientasi. Apabila dunia didewakan dan akhirat dipinggirkan, kehidupan akan hilang kebergantungan. Jadikan Ramadan kali ini sebagai sebuah momentum penghijrahan total yang didambakan dan perubahan orientasi hidup yang nyata dan kekal.
Dunia ini, sekuat mana pun kita mengejarnya, tidak akan pernah habis. Namun usia dan kudrat kita ada batasannya. Alangkah beruntungnya insan yang berjaya meletakkan dunia hanya di genggaman tangannya, tetapi membiarkan akhirat bertahta kukuh di dalam hatinya.
Mari kita jadikan Ramadan ini sebagai titik orientasi kehidupan kita ke arah membina umat yang benar-benar bertamadun.
Mohamad Anwar Shahir Bin Abdul Shukor
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA)


