SEKALUNG TAHNIAH BUAT ANAK-ANAK REMAJA ISMA

Syabas dan tahniah kami ucapkan kepada barisan anak-anak yang mewakili sekolah masing-masing menerusi pelbagai pertandingan dalam Majlis Ihtifal Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Sembilan baru-baru ini.

Lebih membanggakan lagi apabila tiga orang daripada anak-anak yang berpeluang menyertai pertandingan pada kali ini berjaya menempatkan diri mereka sebagai johan dalam pelbagai pertandingan.

Adik Nuaim Bin Omar, anak kepada pasangan Ustaz Hj Omar Bin Kassim dan Puan Hajjah Akhma Deena Binti Khalid berjaya menjadi johan Acara Hafazan Menengah Rendah kategori KKQ. Beliau mewakili Sekolah Menengah Dato’ Sheikh Ahmad, Seremban dan berjaya mengalahkan dua puluh peserta lainya dari seluruh negeri yang bertanding dalam kategori tersebut.

Adik Nuaim membuktikan usaha gigihnya mengulang hafazan Surah Al-Baqarah membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, Nuaim memang konsisten berusaha mengulang-ngulang hafazan al-qurannya, juzuk satu sudah cair dalam kepalanya. Jangan ingat hafiz quran ini cair semua juzuk dalam kepala mereka, sebab kalau tidak rajin mengulang memang boleh lupa,” ujar ibunya, Puan Hajjah Akhma Deena Khalid, seorang aktivis ISMA Cawangan Seremban.

Antara faktor yang mendorong adik Nuaim juga adalah beliau sangat terinspirasi dengan kejayaan abang sulungnya yang berjaya mewakili Negeri Sembilan pada tahun lepas. Dari situ beliau bersungguh-sungguh berusaha dan menyimpan keinginan untuk berjaya mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan seperti abangnya. Di samping dorongan keluarga, guru-guru di sekolah juga merupakan penggalak kepada kejayaan anak ini. Antaranya Ustazah Madihah A Rashid, salah seorang tenaga guru yang memainkan peranan penting dalam anak ini membuat persediaan demi persediaan sebelum pertandingan. Ustazah Madihah sendiri merupakan penggerak Kelab Remaja ISMA (KRIM) Seremban.

Di samping itu, adik Jumanah Binti Tajul Azhar, 14 tahun juga dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Hiwar (Perbualan Bahasa Arab) Peringkat Menengah Rendah pada pertandingan kali ini. Beliau merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Datuk Hassan Sail, juga merupakan anak kepada pasangan aktivis ISMA Seremban iaitu Ustaz Tajul Azhar dan Ustazah Murni Buchik.

Pelajar tingkatan dua ini, merupakan pelajar yang aktif di sekolahnya. Selain seorang pengawas sekolah, beliau juga telah mewakili daerah dalam pertandingan catur di peringkat negeri, juga terlibat dalam pidato Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Sementara itu adik Umar Al-Faruq Bin Zulkifli pula dinobatkan sebagai johan Pertandingan Hiwar Peringkat Menengah Atas Negeri Perak dalam Pertandingan Ihtifal Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Perak yang berlangsung serentak di seluruh negara. Adik Umar al-Faruq mewakili Maahad Tahfiz Imtiyaz, Ipoh sebuah pusat tahfiz yang berjaya melahirkan para huffaz yang mantap dari segi hafazan, akhlak dan adab. Beliau yang menggalas jawatan sebagai Ketua Umum di Maahad Tahfiz Imtiyaz, Ipoh bagi sesi ini merupakan anak kepada pasangan aktivis ISMA Seremban, Tn Hj Zulkifli Ismail dan Puan Hajah Rafidah Abd Rahman.

Sekali lagi Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban mengucapkan sekalung penghargaan, syabas dan tahniah atas kejayaan anak-anak remaja yang cukup cemerlang ini. Moga kalian beroleh kejayaan di peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung pada bulan Ogos yang akan datang di Kedah.

Moga kejayaan anak-anak ini juga berjaya menginspirasi remaja-remaja dan anak-anak aktivis ISMA yang lain untuk terus menjadikan Islam sebagai pegangan yang diamalkan dalam kehidupan seharian sejak dari usia kecil. Moga anak-anak yang cemerlang ini akan mampu bersaing dan menyediakan diri menjadi pemimpin umat ini pada masa depan.

#mumtazuntukummah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat