Fasa remaja merupakan titik peralihan yang kritikal dalam kitaran hidup manusia, yang mana seseorang individu mengalami perubahan drastik dari aspek biologi, kognitif, dan emosi. Fasa Murahaqah, perkatan berasal daripada perkataan rahaqa yang membawa maksud bodoh, ringan, melakukan keburukan, membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung. Fasa ini menuntut kesabaran yang amat tinggi buat semua pihak yang berinteraksi secara langsung dengan remaja. Pendidikan yang menyeluruh dari sudut ilmu alat dan ilmu tarbiah akan menentukan kesempurnaan kematangan mereka pada usia dewasa kelak, sama ada mereka membesar menjadi seorang dewasa yang menghayati nilai hidup atau sebaliknya.
Adegan intim dan ganas jadi ikutan
Isu sahsiah remaja pada hari ini berada pada tahap yang amat membimbangkan dan menuntut tindakan radikal daripada semua pihak. Dalam tempoh kurang setahun, kita dapat menyaksikan perlakuan seperti menumbuk muka guru, meludah muka guru, rogol berkumpulan di dalam kelas, membuli dan memukul pelajar hingga ke tahap terjadinya pembunuhan di dalam kompaun sekolah adalah sama sekali tidak boleh diterima akal. Kemerosotan nilai empati dan hilangnya rasa hormat terhadap guru serta rakan sebaya menunjukkan bahawa benteng sahsiah remaja semakin rapuh, sekali gus menuntut campur tangan yang serius daripada seluruh lapisan masyarakat.
Antara punca yang sering dipandang ringan tetapi membawa impak besar adalah penularan kandungan visual negatif media arus perdana. Misalnya, adegan pukul-memukul, menggunakan kata-kata kesat dan jelek, memberi impak langsung terhadap pembentukan sahsiah remaja. Apabila filem atau drama bersiri di televisyen dan platform digital kerap memaparkan aksi keganasan di sekolah, pergaduhan, dan kehebatan membuli, ia secara tidak sedar bertindak sebagai “manual percuma”, pencetus bagi remaja meniru tingkah laku (copycat behavior). Kesanya, remaja menyerap paparan negatif ini sebagai tindakan yang ‘cool’ atau hebat, lantas menirunya tanpa menyedari kesan buruk perbuatan itu.
Pembikin drama dan filem perlu bertanggungjawab
Sebagai langkah proaktif, sudah tiba masanya pihak industri penyiaran dan pihak berkuasa mengambil langkah berani dengan menghentikan penerbitan filem atau drama bersiri yang mempertontonkan aksi dan akhlak negatif yang sangat berpotensi meruntuhkan akhlak remaja kita.
Lembaga Penapisan Filem (LPF) serta stesen penyiaran perlu lebih tegas dalam menapis dan menyekat sebarang kandungan media yang mengeksploitasi elemen keganasan remaja. Pada masa yang sama, para penerbit skrip dan pengarah diseru supaya mengalihkan fokus kepada penghasilan kandungan yang mengetengahkan nilai empati, kepimpinan, perjuangan tokoh dalam mempertahan tanah air, serta kebijaksanaan menyelesaikan konflik secara sihat.
Usaha membendung gejala ganas remaja di institusi pendidikan tidak boleh lagi hanya bergantung kepada pendekatan reaktif seperti hukuman disiplin semata-mata di peringkat sekolah. Tindakan proaktif yang berani, termasuklah menghentikan penerbitan filem, drama bersiri berunsur keganasan sekolah dan perbuatan negatif perlu dilaksanakan segera. Pembersihan anasir negatif dari akar umbi ini adalah satu bentuk pelaburan moral yang mendesak demi memastikan remaja hari ini membesar sebagai generasi yang selamat akalnya, terpelihara nyawanya, dan berakhlak mulia.
Muhammad Alif Haiqal Hanipah
JK Pembangunan Sumber Manusia PEMBINA Shah Alam


