KAJANG, 26 September – Sambutan Hari Malaysia di Pangsapuri Kajang Impiana (PKI) dimeriahkan menerusi Majlis Sukaneka Impiana 2026 yang menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kejiranan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Program anjuran bersama MCPKI dan Kelab Ukhuwah Impiana (KUI) itu melibatkan penyertaan 25 keluarga bersama ahli keluarga masing-masing. Acara yang diadakan pada 16 September lalu meriah dengan pelbagai aktiviti seperti acara sukaneka, cabutan bertuah serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Menghias Aras yang dianjurkan sempena sambutan Kemerdekaan.
Pengerusi KUI, Ustaz Zaizul Irshadi Zaman yang juga Yang Dipertua ISMA Bangi berkata, program tersebut diharapkan dapat membantu membina komuniti yang aktif dan prihatin, di samping menyemai semangat cintakan tanah air.
“Kita berharap program seperti ini dapat mewujudkan suasana komuniti yang aktif dan prihatin, selain menanam semangat cintakan tanah air serta kesediaan untuk berkorban demi agama, masyarakat dan negara,” katanya.
Penganjuran program turut memberi ruang kepada penduduk untuk berinteraksi dan bekerjasama dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan ukhuwah serta menyuburkan semangat “Jiran Sepakat Membawa Berkat” dalam komuniti Pangsapuri Kajang Impiana.


