Bagi umat Islam apa-apa bentuk penyertaan politik, penglibatan dakwah dan juga gerakan islah mestilah jelas diasaskan kepada falsafah pemikiran Islam yang tulen. Ini amat penting kerana kebelakangan ini pelbagai konsep dan mustolahat muncul dengan meluas dalam wacana politik dan juga amal pembangunan masyarakat.
Antaranya adalah seperti konsep masyarakat sivil, negara bangsa (nation state), kesukarelawanan, hak asasi, demokrasi, tadbir urus (good governance) dan lain-lain lagi terma dan istilah. Sekiranya diamati secara cermat, kita akan dapati hampir semua konsep-konsep ini lahirnya daripada latar belakang sejarah, falsafah dan pandangan alam (worldview) yang membentuknya.
Sebahagian konsep ini berkembang sebagai respon daripada pengalaman sejarah Eropah yang panjang, khususnya ketika fasa konflik antara gereja dan negara, zaman kebangkitan Renaissance, Enlightenment seterusnya kemunculan negara moden.
Istilah-istilah ini kelihatan hampir sama dengan nilai yang dibawa oleh Islam. Namun persamaan pada zahir tidak semestinya membawa maksud yang sama pada hakikatnya.
Islam pula melihat penyertaan dalam usaha membangunkan masyarakat dengan cara yang berbeza daripada kebanyakan teori-teori moden. Dalam pemikiran Barat, penglibatan dalam masyarakat lazimnya dianggap sebagai hak yang boleh dilaksanakan atau ditinggalkan mengikut pilihan individu.
Dalam Islam agenda membangunkan ummah, menegakkan kebaikan, mencegah kemungkaran dan memakmurkan kehidupan merupakan tanggungjawab agama.
Pada asalnya ia adalah fardu kifayah yang perlu dipikul oleh umat secara bersama. Namun, apabila tiada lagi pihak yang melaksanakannya atau keadaan memerlukan penglibatan setiap individu, tanggungjawab itu boleh berubah menjadi fardu ain.
Atas asas inilah para ulama menegaskan bahawa ummah ialah entiti asas dan utama yang dipertanggungjawabkan oleh wahyu. Ummah ialah sebuah komuniti yang disatukan oleh akidah, dipandu oleh wahyu, diikat dengan tanggungjawab dan nilai bersama dan digerakkan untuk melaksanakan risalah Islam kepada seluruh manusia.
Di sinilah letaknya perbezaan yang ketara dan mendasar. Dalam tradisi Barat, masyarakat sivil sering dilihat sebagai ruang yang mengimbangi kuasa negara serta mempertahankan hak-hak individu. Sedangkan dalam Islam, ummah mempunyai skop yang jauh lebih luas.
Ummah tidak terhad semata-mata untuk mengimbangi kuasa, malah lebih besar tugasnya untuk memikul amanah menegakkan agama, memakmurkan bumi, menegakkan keadilan, memelihara maslahat manusia dan menjadi saksi kepada seluruh umat manusia. Negara hanyalah salah satu institusi yang berkhidmat kepada ummah, bukannya matlamat akhir.
Atas sebab itu, ISMA memilih untuk mengangkat gagasan Ummah Fadhilah. Fokusnya adalah membina sebuah ummah yang sedar akan identitinya, bersatu atas dasar dan prinsip Islam, kuat jati dirinya dan mampu memimpin masyarakat ke arah kebaikan.
Apabila ummah dibina dengan kukuh, keluarga akan menjadi kuat, komuniti akan berkembang dan negara akan memperoleh asas yang lebih teguh serta berkekalan.
Pendekatan ini lebih kuat dari sudut intelektual kerana ia menunjukkan bahawa perbezaan antara Islam dan Barat bukan sekadar pada istilah, tetapi pada worldview (tasawur), sumber autoriti, tujuan kewujudan dan fungsi sosial dalam struktur masyarakat dan negara.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA


