KRUBONG, 3 Oktober – Seramai 26 peserta berusia antara tujuh tahun hingga lingkungan 20-an menyertai Usrah Gadis, sebuah program yang memberi pendedahan asas berkaitan akil baligh dan fiqh darah haid di Surau Al-Jannah, PPR Krubong, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi itu dianjurkan oleh PKU ISMA Melaka Tengah dengan kerjasama KRIM Melaka Tengah dan Surau Al-Jannah, PPR Krubong.
Usrah Gadis dianjurkan bagi memberikan pendedahan awal kepada golongan remaja perempuan tentang perubahan yang berlaku ketika memasuki fasa akil baligh, di samping membina kefahaman terhadap hukum-hakam berkaitan darah haid yang mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan ibadah.
Pengisian program disampaikan oleh Ustazah Farhana Zali, pemegang Sarjana Muda dalam bidang Syariah, yang menerangkan isu-isu berkaitan akil baligh dari aspek hukum fiqh, simptom serta perubahan fizikal yang berlaku.
Peserta turut diberikan penerangan mengenai asas pengiraan haid, jenis-jenis darah serta hukum-hakam berkaitan, termasuk perkara yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan ibadah ketika haid.
Pendedahan secara awal ini membantu peserta memahami perubahan yang bakal atau sedang mereka lalui dengan pengetahuan yang tepat, selain membolehkan mereka mengetahui asas hukum yang berkaitan dengan keadaan diri apabila mencapai usia baligh.
Salah seorang peserta, Sumayyah, menyifatkan pengisian Usrah Gadis sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan bermanfaat walaupun dirinya masih belum mengalami haid.
“Seronok dapat belajar tentang haid walaupun saya belum haid. Saya belajar kiraan dan cara tulis kalendar haid. Happy sangat!” katanya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut menunjukkan respons yang baik dan berani mengemukakan soalan apabila terdapat perkara yang kurang difahami.
“Alhamdulillah, para peserta memberi respons yang baik dan berani bertanya bila tidak faham,” kata Nur Farhana Zali selaku pengarah program.
Usrah Gadis diharap dapat menjadi ruang pembelajaran yang membantu golongan remaja perempuan mempersiapkan diri menghadapi fasa akil baligh dengan ilmu yang betul, khususnya dalam memahami perubahan fizikal dan hukum-hakam berkaitan haid serta ibadah.
Inisiatif seperti ini juga penting dalam membentuk generasi remaja perempuan yang lebih bersedia, yakin dan mempunyai kefahaman agama dalam menghadapi perubahan diri pada peringkat awal kehidupan mereka.


