Mulianya wanita Allah nukilkan keadaan ibu hamil dalam Al-Quran

Oleh: Siti Saleha Sofian Suri

BANGI, 29 September 2019 – “Fasa kesihatan wanita adalah berbeza dengan lelaki bermula daripada fasa akil baligh,” ujar Dr. Nadhirah Mohamad Yusof, aktivis Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (i-Medik) Selangor/KL. Beliau yang juga merupakan pegawai perubatan dan kesihatan, Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya berkongsi tentang isu kesihatan wanita dalam program Sembang Santai: Secangkir Teh Seuntai Kasih bertajuk Wanita dan Kesihatan, di Surau Ar Rahman, Seksyen 7, pagi ini.

Gangguan kesihatan pada wanita adalah paling banyak sewaktu hamil. Justeru amat penting bagi kaum Hawa mengetahui tahap kesihatan diri. “Sepanjang tempoh kehamilan, seorang ibu harus sentiasa dibantu dan dijaga bukan sahaja secara fizikal dan pemakanan, malah kerohanian serta psikologi emosi mereka juga sangat penting,” tambah beliau.

Allah swt telah menukilkan perihal tentang keadaan apabila wanita hamil dalam Surah Luqman, ayat ke 14 yang bermaksud “dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu”.

Menceritakan lanjut tentang kesihatan wanita, beliau menyeru supaya pendidikan kesihatan yang berkait rapat dengan seksualiti ini juga diajar kepada anak-anak sejak kecil terutamanya berkaitan tentang jantina. Dr. Nadhirah juga mengajak para wanita agar peka dan membuat pemeriksaan kanser serviks dan payudara. Pemeriksaan boleh dibuat di mana-mana klinik kesihatan secara percuma atau di klinik-klinik swasta yang menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan sakit puan.

Program Sembang Santai: Secangkir Teh Seuntai Kasih ini dianjurkan oleh Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Hulu Langat dengan kerjasama Biro Islamiyat (BIDAK) dan Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA Hulu Langat menyaksikan penyertaan yang meriah dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk buat anak-anak yang hadir. Klinik Al-Fatihah juga dibuka bagi hadirin memperdengarkan bacaan surah Al-Fatihah bagi meningkatkan kualiti bacaan surah tersebut.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat