Setiap kali memasuki bulan Muharam, setiap mukmin pasti menanti kedatangan hari yang penuh dengan limpahan rahmat dan keampunan, iaitu Hari Asyura yang jatuh pada setiap 10 Muharam. Asyura bukan sekadar coretan sejarah masa lalu, tetapi ia merupakan ´lubuk pahala´ dan peluang keemasan yang Allah SWT sediakan buat umat Muhammad SAW.
Detik utama sejarah hari Asyura ialah Nabi Musa AS bersama Bani Israel yang telah diselamatkan oleh Allah SWT dan menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya di lautan Merah. Sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan tauhid ini, Nabi Musa AS telah berpuasa pada hari tersebut.
Hari Asyura adalah hadiah kasih sayang daripada Allah SWT untuk kita yang sering leka dengan dosa dan keduniaan.
“Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadan adalah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam.”
(Hadis riwayat Muslim)
Justeru itu, Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa ibadah puasa pada Hari Asyura mampu menghapuskan dosa-dosa kecil kita bagi tempoh setahun yang lalu.
Bagi menyempurnakan sunnah dan membezakan identiti ibadah kita dengan kaum Yahudi, Baginda turut merancang untuk berpuasa sehari sebelum itu, iaitu pada 9 Muharam atau Hari Tasu’a. Menggandakan puasa pada kedua-dua hari ini bukan sahaja membersihkan diri daripada dosa, malah dikurniakan pahala kerana menghidupkan sunnah Baginda SAW yang sahih.
Di samping ibadah puasa, pintu gerbang pahala Asyura turut terbuka luas melalui amalan sosial dan kasih sayang. Salah satu keunikan hari ini ialah galakan untuk melapangkan nafkah dan menggembirakan ahli keluarga, sama ada dengan memasak hidangan yang lebih istimewa daripada hari biasa mahupun melebihkan belanja kepada isteri dan anak-anak.
Islam tidak melihat ibadah itu hanya di atas sejadah, bahkan kegembiraan yang kita bawakan ke dalam rumah pada malam Asyura dinilai sebagai satu ketaatan yang besar. Berdasarkan riwayat daripada Saidina Umar RA secara mauquf dengan sanad yang kuat:
“Siapa yang memperluas nafkah untuk keluarganya pada malam Asyura, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun.”
Bukan itu sahaja, pintu ibadah pada malam Asyura ini sebenarnya sangat luas dan terbuka bagi apa sahaja bentuk kebaikan. Umat Islam disunatkan untuk mendirikan solat sunat malam, memperbanyakkan istighfar, membaca al-Quran, serta berzikir.
Oleh itu, janganlah kita membiarkan malam Asyura berlalu sepi tanpa pengisian jiwa. Marilah kita membuat persediaan awal, dan memasang niat yang ikhlas untuk memburu keampunan serta keberkatan. Rebutlah pahala Asyura ini dengan bersungguh-sungguh, moga-moga kita lalui malam Asyura ini sebagai hamba yang diampunkan dan diluaskan rezekinya dunia dan akhirat.
Ustaz Zarrin bin Zainal Abidin
Ketua Biro Dakwah ISMA Cawangan Gombak


